Who Moved My Cheese?

Buku tentang kehidupan

Pertemuan pertama

Kali pertama menemui buku ini adalah sekitar Oktober 2007 (baru sebulan menjejakkan kaki di bumi UK) ketika suami kepada seorang kakak di London memperkenalkannya. Ketika itu baru sahaja baca beberapa muka surat sudah terlelap. Satu perkara yang sangat sukar bagi saya untuk membaca bahan bahasa inggeris ketika itu. Mengambil masa yang agak lama untuk menghadamnya. Oleh itu, sejak hari itu saya tidak meneruskan lagi pembacaan.

Alhamdulillah, pada pertengahan tahun ini saya membelinya dari Amazon dan berpeluang membacanya dan menyelesaikannya dalam masa 3 hari pada dua minggu yang lepas. 🙂

Apa isinya?

Pertamanya, bahasa Inggerisnya agak mudah untuk difahami sebenarnya berbanding buku-buku motivasi yang lain. Ceritanya santai. Mesejnya jelas. Buku ini mengisahkan tentang sekumpulan rakan yang bertemu kembali dalam satu reunion dan masing-masing menceritakan tentang kehidupan mereka yang terkini. Ada yang berubah, dan ada juga yang masih kekal sama. Maka salah seorang mula menceritakan sebuah kisah berkenaan kehidupan seharian dua ekor tikus bernama Sniff dan Scurry serta dua orang kerdil bernama Hem dan Haw. Tentulah tikus kurang cerdik sedikit berbanding dengan orang kerdil tersebut yang dikurniakan akal.

Keempat-empat makhluk ini menjalani kehidupan mereka dengan mencari keju setiap hari. Setiap hari mereka akan mencari keju di dalam satu maze. Pada kebiasaannya, sumber keju akan berada di Stesen Keju C di dalam maze tersebut.  Begitulah rutin mereka, akan ke situ untuk memakan keju kesukaan mereka sehinggalah pada suatu hari mereka mendapati tiada lagi keju di Stesen Keju C.

Sniff dan Scurry yang sangat prihatin dengan perubahan yang berlaku, mereka terus mengenakan kasut larian mereka dan meneroka kawasan lain di dalam maze tersebut untuk mencari stesen keju yang baru. Manakala Hem dan Haw terkejut,  mereka mula menyoalkan siapakah gerangan yang berani mengalihkan keju mereka daripada situ? Dengan kata lain mereka tidak berbuat apa-apa dan setiap hari mereka masih pergi ke Stesen Keju yang sama. Sudah pasti keju itu sudah tiada lagi kerana sudah dialihkan! Tetapi mereka tetap tidak berbuat apa-apa dan menyalahkan orang lain. Sementara di sudut lain, Sniff dan Scurry telah pun menjumpai stesen keju yang baru!

Hari demi hari, bekalan keju milik Hem dan Haw semakin susut. Mereka hampir mati kelaparan. Haw akhirnya membuat keputusan untuk keluar daripada kepompong kebuluran mereka. Dia tekad untuk keluar meneroka maze dan mencari stesen keju yang baru. Ini tentu sekali ditentang habis-habisan oleh Hem. Baginya mustahil untuk mereka mencari stesen keju yang baru. Mereka tidak tahu di di sudut mana mereka perlu jelajahi di dalam maze tersebut. Kawasan-kawasan lain mungkin terlalu bahaya buat mereka. Tambahan pula, mereka sendiri sudah terlalu lama tidak berlari.

Haw yang kelaparan tekad dengan keputusannya. Maka dia pun berlari mencari keju yang baru. Pada mulanya dia sesat, keliru dan agak perlahan pergerakannya. Dia takut untuk melalui jalan-jalan baru yang tidak pernah dilaluinya. Tetapi apabila dia membayang-bayangkan keindahan menikmati keju yang baru, dia semakin bersemangat. Dia cuba sematkan dalam minda untuk melupakan segala ketakutan. Setiap kali dia terhenti, dia akan katakan perkataan-perkataan yang positif pada dirinya dan menuliskannya diatas dinding maze tersebut.

Dan akhirnya, dia menjumpai stesen keju yang baru, yang terdapat sangat banyak keju yang dia tidak pernah nampak dan sedap-sedap belaka. Malah dua ekor tikus Sniff dan Scurry pun turut berada di situ. Apabila dia memuhasabah dirinya kembali, ternyata perubahan yang dia laksanakan telah membawa dia kepada matlamatnya.

Apa yang menarik?

Tentulah cerita ini tidak tamat di situ sahaja. Cuma apa yang saya dapat kongsikan daripada buku ini adalah kadang-kadang dalam mencapai satu matlamat, kita memerlukan kepada perubahan. Perubahan cara fikir dan perubahan kita melihat sesuatu. Kalau kita ambil nilainya dan terjemahkan dalam kehidupan sebagai seorang muslim, kita dapati dalam mencapai matlamat terbesar kita, iaitu redha Allah, kita tentu perlu melaksanakan beberapa perubahan.

Perubahan yang saya maksudkan bukanlah perubahan dari segi hukum-hukum Allah kerana itu tidak boleh lagi diubah. Tetapi lebih kepada perubahan diri kita sendiri. Kita perlu mengorbankan kebiasaan kita yang melambatkan kita daripada mencapai redha Allah itu. Dengan erti kata lain, keluar dari comfort zone. InshaAllah saya yakin, kita sendiri tahu apa comfort zone kita sendiri. Tidak dapat dinafikan, dalam diri kita ada satu sisi yang seperti Hem, tidak mahu berubah langsung dan takut dengan perubahan. Takut tidak berjaya.  Tetapi percayalah, setiap perubahan ke arah Allah itu pasti  tidak akan Allah sia-siakan.

Seperti Haw ,jika kita rasa perubahan itu sukar, fikirkanlah akan nikmat syurga yang Allah telah sediakan di akhirat kelak bagi orang-orang yang bersungguh ingin kembali kepadaNya. Kita juga ada contoh-contoh yang telah terlebih dahulu pergi menemui Allah dalam keadaan yang berjaya.

Ada satu sisi lagi yang ingin saya kongsikan daripadabuku tersebut iaitu selain daripada menulis kata-kata motivasi untuk dirinya sendiri, Haw sebenarnya berbuat demikian kerana bertujuan meninggalkan jejak bagi kawannya Hem. Mudah-mudahan Hem tergerak untuk mengikutinya dan menuju ke matlamat yang sama juga. Lihat, kita juga sangat berhajat orang-orang yang kita sayang untuk kembali kepada Allah dalam keadaan yang baik juga kan? Jadi tugas kita selain dari melakukan perubahan pada diri adalah dengan mengajak orang sekeliling kita juga. Islah nafsaka wad’u ghairaka. Perbaiki dirimu dan ajaklah orang lain!

Penutup

Sesiapa yang berpeluang membaca buku ini, bacalah. Walaupun ia tulisan orang bukan Islam, tetapi hikmahnya dapat kita ambil dan terapkan nilainya selaras dengan kehendak Islam. InshaAllah. Mungkin apabila kalian membacanya, kalian akan nampak dari perspektif lain, cuma inilah sekadar perkongsian daripada saya untuk kita sama-sama renungi.

Wallahualam.

One Response to “Who Moved My Cheese?”

Trackbacks/Pingbacks

  1. Testimoni Buku – Page baru « ::Mukminah Mujahidah Menongkah Arus:: - December 3, 2011

    […] Who Moved My Cheese? […]

Ingin berkongsi? Luahkan.