CERPEN : Shinka, engkau amanahku – part 2

14 Nov

Feel free to comment🙂

Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau lebih terkenal dengan julukan Taman Polo oleh masyarakat sekitar Ipoh itu selalu tidak sunyi dengan kunjungan orang ramai. Walaupun kawasan padangnya agak berlecak lantaran hujan renyai sebentar tadi, ia langsung tidak menghalang anak-anak muda bermain-main di padang di tengah-tengah taman itu. Tidak kurang juga di trek joging, masih ramai seperti hari biasa.

Kesempatan itu tidak dilepaskan oleh Anis dan Sara. Mereka lebih selesa berjalan-jalan sepanjang trek joging yang disediakan di taman tersebut. Sudah lama tidak berjumpa, masa terluang ini mereka manfaatkan untuk bertukar-tukar cerita. Kadang-kadang beberapa orang memintas mereka.Mereka bergerak sedikit ke tepi untuk memberi laluan.

“Lama kita tidak beriadah disini. Sekali-sekala ambil angin petang-petang ni seronok juga kan?” Sara bersuara.

“Betul.” Anis angguk-angguk.

“Gadisku…”

“Labuhnya tudung.”

Anis dan Sara terdiam. Terkejut agaknya mendengar siulan daripada beberapa anak muda yang  sedang duduk-duduk di kawasan alat-alat senaman. Walaupun ketika melalui kawasan itu ada beberapa wanita dan lelaki lain yang turut bersama melalui, mereka tahu sindiran itu ditujukan kepada mereka.  Manakan tidak, siapa lagi yang sedang memakai tudung labuh melainkan mereka berdua ketika itu.

Anis beristighfar. Cepat-cepat memberi isyarat kepada Sara supaya memanjangkan langkah dan bergerak ke arah kawasan lain. Dalam diam dia  berfikir. Anis bangga mampu beriadah dalam keadaan dia menutup aurat secara sempurna. Masyarakat kadang-kadang memandang remeh akan hal ini. Kononnya memakai pakaian yang labuh-labuh akan menghalang pergerakan dan agak panas. Bagi Anis, alah bisa tegal biasa. Asalkan kain yang membaluti tubuh tidak jarang, tidak nipis, tidak ketat dan menutup segala yang patut ditutup, maka penutupan aurat akan sempurna. Teringat dia pada satu ayat Al-Quran,

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung kedadanya…”

Ayat ke-31 daripada surah An-Nur ini menjelaskan akan syariat menutup aurat bagi kaum perempuan. Ayat ini agak panjang. Di sambungannya Allah turut menceritakan golongan-golongan yang terkecuali untuk tidak bertudung dihadapannya.  Tetapi ternyata bagi lelaki yang bukan mahram, mereka tidak termasuk didalam golongan ini.

“Kita ke trek berdekatan dengan tasik ye Anis.” Lamunan Anis dikejutkan dengan teguran Sara.

“Bagus juga.  Di situ tersorok sedikit daripada pandangan orang ramai. Boleh la kita mula berlari-lari pulak.” Anis tersengih. Tampak dua barisan giginya yang putih.

Di Taman Polo terdapat tiga trek joging atau pejalan kaki. Yang pertama dan terbesar adalah yang baru mereka lalui tadi, trek mengelilingi seluruh taman tersebut. Manakala yang kedua terbesar adalah trek yang mengelilingi padang  dan terakhir adalah trek yang mengelilingi sebuah tasik kecil.

Tiba di tepi tasik, mereka mula berlari-lari anak. Sudah cukup rasanya memanaskan badan ketika sesi berjalan kaki tadi. Mereka terus begitu sehinggalah baru hendak masuk ke pusingan yang kelima, Sara tiba-tiba berhenti. Dia tercungap-cungap menahan nafas yang turun naik.

“Kenapa Sara?” Anis yang sedari tadi berlari seiring dengannya turut berhenti. Nafasnya turut turun naik. Wajahnya mempamerkan kerisauan.

“Tak ada apa. Saya nampak kucing.” Sara sedikit tunduk cuba menstabilkan nafasnya. Sudah lama tidak berlari sejauh ini mungkin.

“Kucing?”Anis meminta kepastian. Dia jarang-jarang melihat kewujudan seekor kucing di kawasan ini. Masakan tidak, taman ini jauh daripada kawasan perumahan atau restoran. Di sekitarnya hanya ada Tanah Perkuburan masyarakat berbangsa Cina dan ada sebuah sekolah beraliran teknik . Mungkin juga dia datang dari sekolah tersebut.

“Mana?”  Anis tercari-cari kelibat kucing tersebut.

“Tu.” Sara menunjuk ke suatu arah.Nafasnya sudah berjaya distabilkan. Di sebalik pokok-pokok renek, kelihatan seekor kucing hitam. Anis membesarkan mata. Terkejut. Kucing hitam selalu dikaitkan dengan kucing yang membawa sial atau kucing milik ahli-ahli sihir. Itu dia dengar daripada kata-kata kebanyakan orang. Atau mungkin juga terpengaruh dengan cerita ahli sihir Sabrina The Teenage Witch yang mempunyai seekor kucing hitam yang bernama Salem yang pernah ditontonnya di kaca televiyen suatu ketika dahulu.

Sebelum sempat Anis memanjangkan fikiran-fikiran negatifnya, Sara sudah terlebih dahulu bergerak kearah kucing tersebut. Kucing itu kelihatan takut-takut dan cuba untuk lari apabila Sara menghampirinya. Sara berhenti seketika. Dia mengeluarkan sesuatu daripada beg sandang tepi kecil yang disarungnya sejak tadi. Kemudian dia mendekati kucing tersebut perlahan-lahan sambil membuat-buat bunyi memanggil kucing itu.

“Makanan kucing rupanya.” Sara berpusing dan mendongakkan kepala. Dia tersenyum kepada Anis yang sudah tercegat disisinya. Anis mengambil tempat disebelah Sara, turut bertinggung.

“ Sara bawa makanan ni daripada rumah ke? Macam tahu-tahu saja akan jumpa kucing dekat sini.” Anis leka melihat kucing yang kelaparan itu menjamah makanan kucing yang dibawa Sara. Sara pula sibuk membelai-belai bulu kucing tersebut.

“ Erm aah. Sara memang selalu prepare siap-siap satu paket kecil setiap kali keluar rumah.” Sara tidak berpaling. Leka.

“Wah! Biar betul? Bagusnya Sara.” Anis teruja. Sampai ke tahap itu pemikiran Sara. Bersedia untuk membuat kebaikan kepada makhluk lain. Apabila sudah bersedia begitu, apabila ada peluang, terus sahaja dimanfaatkan.

“Tak adalah. Mungkin sebab dah terbiasa.” Sara merendah diri. Anis angguk-angguk.

“Tak takut ke dengan kucing hitam?” Anis terus mengajukan soalan. Kali ini ia membuatkan Sara berpaling. Mukanya nampak kehairanan. Mungkin meminta kepastian daripada Anis.

“ Yelah. Orang kata, kucing hitam ini membawa sial dan selalunya orang-orang yang main sihir aje suka bela kucing hitam ini.” Anis terus melanjutkan bicara. Faham dengan reaksi Sara tadi.

“Siapa kata?” Sara bertanya lagi.

“Oranglah kata…” Anis membalas.

“Oh orang…” Sara tersenyum. Anis juga tersengih. Dia tahu dia sudah terperangkap dengan kata-kata Sara. Kalau sudah orang yang kata, bukannya Al-Quran, hadis atau jumhur ulama, sudah pasti kesahihannya dapat diragui.

“Kalau kita percaya macam tu, itu dah jadi kepercayaan khurafat,Anis. Mempercayai sesuatu benda atau makhluk mampu memberi perlindungan atau mudharat kepada kita merupakan tanggapan yang patut kita jauhi.” Sara membetulkan sedikit posisi kakinya. Agak lenguh dia bertinggung lama-lama begitu.

“ Rasulullah SAW pernah bersabda, ketahuilah bahawa seandainya umat ini berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, hal itu tidak akan terwujud kecuali dengan takdirNya. Sebaliknya jika mereka berkumpul untuk mencelakakanmu, hal itu tidak akan berhasil kecuali dengan takdirNya.” Sara memberi keterangan. Hadis ini adalah potongan daripada hadis yang disampaikan oleh Rasulullah kepada Ibnu Abbas dan  diriwayatkan oleh Tirmizi.

“Hurm..betul juga.” Anis mengiyakan.

“Tapi hairanlah..” Anis menyambung. Ibu jari dan jari telunjuknya diletakkan dibawah dagu sambil menggerak-gerakkan jari telunjuk kanannya itu.

“Apa yang hairannya?” Sara bangun. Kucing hitam itu sudah habis menyudahkan makanannya. Anis turut bangun. Sara memberi isyarat ke suatu arah, sebuah tandas.  Dia ingin membasuh tangannya yang kotor. Anis akur, berjalan seiring dengannya.

“ Macam mana dengan rancangan-rancangan di televisyen Malaysia sekarang? Orang Malaysia kuat tengok cerita-cerita karut marut ni.”

“Cerita hantu la, cerita puteri bunian la, cerita ikan duyung la, cerita puteri kayangan la, cerita magis la.” Anis menjelaskan satu-satu sambil jarinya dikeluarkan satu demi satu, membilang.

“Itulah kan. Dulu kalau nak tengok cerita-cerita ni, orang putih je selalu buat. Tapi sekarang nampaknya drama-drama Melayu yang rata-ratanya orang Islam pula semakin menjadi-jadi mengarutnya.” Sara menguatkan lagi kata-kata Anis.

Anis dan Sara terdiam. Berfikir . Semakin pening dengan hiburan yang dihajatkan oleh masyarakat muslim kini. Sedangkan cerita-cerita begitu mampu menggugat dan merosakkan akidah umat Islam. Mereka teringat pada musim raya Aidilfitri baru-baru ini,ternyata tayangan-tayangan sempena Aidilfitri yang ditayangkan oleh stesen-stesen televisyen rata-ratanya menyajikan cerita seram. Agaknya setelah sebulan berpuasa dan syaitan-syaitan diikat, sebaik sahaja Aidilfitri, syaitan dilepaskan berkeliaran di setiap sudut hidup seorang manusia. Nampaknya tarbiyah Ramadhan selama sebulan tidak menjadi pencegah kepada segolongan manusia ini.

Benarlah kata Rasulullah SAW, syaitan itu akan berlari-lari di urat darah setiap anak adam.

“Dah nak dekat senja ni. Jom kita balik. Risau banyak pula syaitan yang berkeliaran Maghrib nanti mengganggu anak-anak adam.” Anis tersengih. Sara juga tersenyum dan menganggukkan kepala.

***

bersambung…

2 Responses to “CERPEN : Shinka, engkau amanahku – part 2”

  1. irhafiz November 15, 2010 at 9:43 am #

    Assalamualaikum,

    Pendapat saya, siapa sahaja yang mengarang cerita mempunyai matlamat agar pembacanya mampu memahami cerita itu selari dengan apa yang penulis faham. Maka, untuk mencapai matlamat tersebut, kaedah penerangan tentang suasana tempat atau emosi watak pada cerita perlu diolah agar pembaca lebih memahaminya.

    Tidak perlu untuk penggunaan bahasa yang terlalu tinggi hinggakan tidak mampu diterjemah secara betul oleh pembaca. Biar bahasanya santai tetapi mudah difahami. Namun, tatabahasa dan garis panduan bahasa tetap dipenuhi.

    Antara babak hingga kepada babak berikutnya, perlu ada sinonimnya, supaya tidak sukar untuk pembaca memahami semua babak yang ada.

    Penulis juga perlu menjauhi bahawa pembaca sudah tahu itu, pembaca sudah tahu ini… Elakkan ayat tergantung, dengan mengandaikan pembaca sudah faham.

    >Cepat-cepat memberi isyarat kepada Sara supaya memanjangkan langkah dan bergerak ke arah kawasan lain. Dalam diam dia berfikir. Anis bangga mampu beriadah dalam keadaan dia menutup aurat secara sempurna. < Contohnya ayat ini. Pendapat saya, ayat ini tergantung. Dalam diam dia berfikir. Anis bangga….
    Jika ditulis begini mungkin lebih jelas, Dalam diam dia berfikir, anis bangga…

    _saya hanya beri pendapat. tidak semua pendapat itu benar. sekadar berkongsi. jangan kecil hati.

    • mukminahmujahidah November 18, 2010 at 10:55 am #

      Waalaikumsalam wbt.

      Jazakallah khair atas komennya. Dari segi penulisan memang ada banyak cacat merbanya, inshaAllah dalam proses utk belajar sedikit demi sedikit.

      Hajat penulis adalah lebih kepada mesej yg hendak disampaikan dapat ditangkap,dihayati dan sama-sama diamalkan dalam kehidupan penulis dan pembaca. Tetapi mungkin terlepas pandang dalam aspek penyusunan ayat dan tatabahasa, menyebabkan seakan-akan mesej itu tidak dapat disampaikan.

      InshaAllah tak kecil hati, malah sangat berbesar hati jika ada yang sudi memberi komen membina.Jazakallah khair.

Ingin berkongsi? Luahkan.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: