Cerpen : Kerana Dia cinta

20 Oct

Tenang.

Dia suka begitu.

Kepala Si Coklat dia usap lembut. Selalunya apabila dia berkunjung ke situ, tentu Si Coklat yang akan paling suka berdiri paling hampir dengan pagar. Si Buah Catur pula sombong, selalu sahaja duduk jauh darinya. Hah, pandai-pandai sahaja dia memberi nama pada kawan Coklat yang berbulu hitam putih itu.

“Heheh..kau rindu aku ye? Sorrylah, walaupun banyak rumput kat sini, aku tak boleh nak bagi makan kat kau.”

Papan tanda “Do not feed the horses” itu dipatuhinya sejak kali pertama dia datang ke tempat itu. Tak mahu dia pandai-pandai buat onar di bumi permaisuri ini. Sudahlah merantau ke negara orang. Kenalah pandai-pandai menjaga diri.

Lama dia usap kepala Si Coklat. Sekali sekala terdengar Si Coklat mendengus. Kemudian dia mengalihkan tangannya. Mungkin bosan tidak dapat makanan daripadanya, Si Coklat bergerak sedikit ke tengah, di tengah padang ragut itu.

Soleha mengambil tempat di sebelah ‘kuda perang’nya yang disandarkan disebelah pokok. Merenung jauh ke arah padang ragut. Berada di sini sangat damai. Melihat alam ciptaan Tuhan. Hilang semua masalah. Mengimbau peristiwa malam tadi hanya buat hatinya makin kusut. Baik sahaja dia menenangkan fikiran di sini.

“Aku dah agak dah. Mesti kat sininya kau membawa diri.” Tiba-tiba terdengar suara Fazliyatul, atau lebih mesra dengan panggilan Ijat, kawan serumahnya itu.

Ijat ,menyandarkan ‘kuda perang’ di sebelah ‘kuda perang’ milik Soleha. Dirinya masih tercunggap-cunggap. Dia menarik nafas dalam-dalam, cubaan menstabilkan kembali nafasnya.

“Kau, kalau nak merajuk jangan merajuk jauh-jauh boleh? Penat kot aku nak berkayuh 4 km ke Osterley Park ni.” Ijat masih tidak henti membebel. Soleha hanya memandang rakan baiknya itu sekilas, kemudian mengembalikan pandangannya semula ke hadapan.

“Aku tak suruh pun kau datang sini.” Soleha jawap acuh tak acuh.

“Dah kau merajuk dan bersedih. Tak kan aku nak biar aje? Risau aku kau buat bukan-bukan. Terjun dari Tower Bridge ke,  gantung diri kat London Eye ke? Naya aku nak jawap dengan mak ayah kau di kampung.”

“Ishh! Kau ni! Bawa istighfar! Aku masih waras dan masih ada iman, tahu? Tak akan aku nak zalimi diri aku sendiri.” Tinggi suara Soleha, menafikan. Ada ke patut Ijat boleh fikir dia nak menamatkan riwayatnya dengan cara hina itu. Berdosa tahu?

“Lagipun buat apa nak kayuh basikal jauh sangat sampai ke situ?Aku cuma nak tenangkan diri je. Tadabur alam ciptaan Allah.”  Suara Soleha kembali tenang.

Ijat Istighfar beberapa kali. Entah dari mana idea tak masuk akal itu datang. Mungkin terlalu risaukan keadaan rakannya itu.

Suasana jadi sepi. Masing-masing hanya mendiamkan diri. Soleha masih tenang, tiada riak kesedihan pada jiwanya. Entahlah, itu andaian Ijat. Dia tahu Soleha seorang wanita yang kuat jiwanya, cuma kadang-kadang emosinya tidak terkawal.

“Soleha, aku harap kau bersabar. Mungkin Allah ada susunan yang lebih baik buat kau.” Akhirnya suara Soleha memecahkan kesunyian.

“InshaAllah. Aku cuba.” Ringkas jawapan Soleha.

Ya, bukan mudah untuk dia menerima berita malam tadi. Hendak melatih diri bersangka baik dengan Allah.

***

“Kawan-kawan, cepat check result. Result dah keluar!” Suara Ijat yang berada ditingkat bawah, kedengaran sehingga ke bahagian attic, tempat terletaknya kamar tidurnya itu. Soleha yang sedang asyik membaca buku “Apa Ertinya Saya Menganut Islam”, tulisan Fathi Yakan itu terus bingkas dari katilnya. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Perasaan apakah ini? Manakan tidak, ini tahun terakhirnya. Minggu depan dia akan bergraduasi. Segala tempahan tiket dan gaun konvokesyen telah ditempah. Bagusnya sistem di UK ini, para pelajar tidak perlu menunggu berbulan-bulan untuk bergraduasi. Dapat sahaja final year result, minggu berikutnya sudah boleh bergraduasi. Sebab itu Soleha, Ijat dan rakan-rakannya yang lain tidak terus pulang ke Malaysia selepas tamat peperiksaan. Mereka mengambil peluang hari-hari terakhir ini untuk mengambil manfaat sebanyak-banyaknya dari bumi permaisuri ini.

” Soleha!” Entah bila Ijat sudah berada di hadapan pintu biliknya. Wajahnya ceria. Tentu sekali dia berjaya dengan cemerlang sekali.

“Alhamdulillah, Second Upper.” Ijat terus meluru ke arahnya dan memeluknya. Terdengar tangisannya. Menangis terharulah itu.

“Alhamdulillah tahniah Ijat. You deserve it.” Bukan mudah nak survive dalam bidang yang diambil Ijat. Actuarial Science. Sama bidang sepertinya. Allah membalas usaha-usaha Ijat yang rajin dan tekun berusaha. Man jadda, wa jadda. Siapa berusaha, pasti berjaya. Itulah maksud pepatah Arab itu.

Ijat meleraikan pelukannya. Saki baki air matanya diseka.

“How about you? Have you check your result?” Ijat mengambil tempat di sebelah Soleha.

“Not yet.”

Check la, tak sabar nak berkongsi kegembiraan juga ni.” Ijat masih senyum kegembiraan. Soleha lebih bijak, rajin daripadanya. Tahun-tahun sebelum ini juga, keputusan Soleha agak memberangsangkan.

“Err..nanti dululah. Tak berani nak check.” Bukan susah pun hendak memeriksa keputusan peperiksaan mereka. Hanya pergi ke portal pelajar, masukkan id pelajar dan kata kunci, segala rekod tentang pembelajaran mereka di Universiti akan terpapar. Sudah pasti yang tahu rekod itu hanya pelajar itu sendiri dan pihak pengurusan.

“Aduh! Takut apa. Gerenti First Class!” Ijat cuba memberi kata semangat.

“Aku nak solat sunat dulu. Nantilah 15 minit lagi kau datang semula.” Ijat angguk tanda faham. Dia pun berlalu pergi. Dia masak benar dengan sikap Soleha. Jika Soleha tidak tenang, pasti dia akan mengadu pada Tuhannya dulu. Kadang-kadang, Soleha akan berjalan-jalan ke taman, mengayuh basikalnya sejauh 4km, ke taman paling hampir dengan tempat tinggal mereka, Osterley Park.

***

Pada Ijat sendiri, dia memang sukar untuk mempercayai Soleha akan gagal dalam subjek di tahun terakhir ini. Bukan satu, tetapi tiga. Soleha yang dia kenal seorang yang berusaha keras. Pada bulan terakhir sebelum peperiksaan, dia dan Soleha sama-sama bersengkang mata mengukangkaji pelajaran. Buat latih tubi. Bangun solat malam bersama. Soleha yang banyak menguatkannya.

Ijat sendiri sedih, tidak dapat sama-sama  bergraduasi dengan rakan baiknya itu.

“Mungkin Allah nak bersihkan aku, aku banyak dosa.” Kali ini Soleha pula membuka bicara setelah lama membisu.

Dalam hatinya dia istighfar banyak-banyak. Cukuplah malam tadi, dia sudah habis menangis. Tidak cukup menangis di bahu Ijat,malam itu, saat orang lain sedang tidur,dia bangun, menangis di depan Rabbnya. Terbayang dia akan wajah mak dan ayahnya yang masih di kampung, mengharap dia pulang dengan kejayaan. Mungkin juga Allah susun mak ayahnya tidak dapat bersama meraikan graduasinya kerana Allah tahu, jika mak ayah ada di sisi dengan keputusannya yang begini, pasti lagi runtun hatinya.

“Aku gagal jadi contoh yang baik. Macam mana aku nak cakap dengan mak ayah aku? Macam mana aku nak cakap dengan pihak penaja? Rasa macam penat bertahun-tahun kat sini. ” Lemah sahaja suara Soleha.

“Soleha, bila masa kau jadi lemah semangat macam ni?” Ijat memegang bahu Soleha. Nampak air bergenang pada tubir mata Soleha.

“Aku memang tak kuat.Aku dah jadi fitnah buat Islam.” Seraya itu takungan air mata Soleha pecah. Ijat hanya membiarkan sahaja Soleha begitu. Memang berat ujian yang dihadapi Soleha.

“Soleha…” Ijat berSuara lembut.

“Kau ingat lagi, dulu kau pernah pesan, yang Allah pandang dan kira usaha kita. Bukan natijahnya. Kalau kita tak berjaya pun, malaikat dah catit pahala kita. Manusia mungkin akan kata macam-macam dan fitnah macam-macam atas ujian yang menimpa kau ini. Biarlah. Mulut manusia mana boleh kita tutup. Yang penting Allah tahu kau dah buat yang terbaik.”

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan, “kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” Ijat membacakan maksud daripada ayat kedua surah Al-Ankabut. Mengingatkan Soleha bahawa orang yang beriman, pasti akan diuji untuk membuktikan imannya.

Ahh benar. Itu memang pesan Soleha satu hari dulu ketika melihat Ijat kecewa dengan anak usrahnya yang tidak berhasil dibentuk. Sekarang pesanan itu kena semula pada dirinya.

“Pasal pihak penaja tu, kau jangan risau. Kau kan masih ada peluang untuk resit semula subjek-subjek tu? ” Ijat cuba memberi kekuatan.

“Tapi tarikh resit tu lagi 3 minggu je lagi, aku risau tak sempat nak ulangkaji semula ketiga-tiga subjek tu.” Suara Soleha makin stabil.

“Siapa yang membantu agama Allah, pasti Allah akan membantunya. Kau kena yakin juga dengan keberkatan waktu. Kalau Allah nak bantu, Allah akan bagi mudah faham dan cukup waktu nak mengulangkaji. Sebelum ni, kau juga dah banyak ulangkaji, cuma mungkin  perlu ubah strategi.”

“Kali ini. InshaAllah Allah akan beri kejayaan, aku yakin tu. Bukankah selalu kau kata, ujian tanda Allah cinta dan sayang?” Ijat tepuk bahu Soleha. Beri semangat. Akhirnya Soleha menguntumkan senyuman.

“InshaAllah. Terima kasih sahabat. Doakan aku sahabat.”

***
Tiga minggu bukanlah waktu yang lama. Soleha mula mengubah strategi. Sebelum ini, mungkin mengulangkaji 8 subjek menyukarkan Soleha untuk skor semua subjek. Killer subject pula tu semua subjek di tahun terakhir ni. Tapi kali ini 3 subjek untuk 3 minggu. Lebih kurang satu minggu satu subjek. InshaAllah aku boleh, Allah ada. Allah ada. Allah ada. Allah tak akan sia-siakan hambaNya yang berusaha. Beberapa kali Soleha mengulangkan kata-kata semangat itu di dalam hatinya.

Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba. Hari untuk Soleha membaiki segala kelemahannya, bertempur di dewan peperiksaan.

Ramai juga rupanya pelajar Britain  yang perlu mengulang. Ingatkan dia seorang sahaja, Ya subjeknya ini agak sukar.Killer subject.

Soleha mencari-cari tempat duduknya. Jumpa. Dia duduk dan cuba bertenang. Tidak lama selepas itu terdengar suara ketua invigilator membuat pengumuman, menerangkan prosedur-prosedur serta etika sepanjang berada di dalam dewan peperiksaan.

You may begin.”

Bismillahirahmanirrahim. Allah, saksikanlah aku telah berusaha. Bantulah aku.” Soleha pun larut dalam  menjawap soalan-soalan yang diberikan.

***

Sudah 5 tahun sejak kali terakhir dia menjejak ke bumi permaisuri itu. Hari ini ketika dia membelek kembali foto-foto lama graduasi, sering ia mengusik jiwanya. Subhanallah, betapa Maha Penyayang dan Pengasihnya Allah. Allah Ar-Razzaq, yang mengurniakan rezeki padanya. Tak pernah putus-putus. Walaupun keputusan yang diterimanya selepas ujian kali kedua itu tidak sebaik Ijat, memandangkan gagal kali pertama buatkan pointernya jatuh. Markah peperiksaan kedua hanya diberi sehingga markah lulus sahaja. Sistem grading juga di tetapkan dengan nisbah 1:3:5, dimana tahun terakhir menyumbang pointer paling banyak. Dia akur sahaja, sudah begitu sistem peperiksaan di tempat pengajiannya.

Kini dia bekerja sebagai seorang Pegawai Aktuari di sebuah syarikat swasta terkemuka di tanah air. Baiknya Allah. Dia juga dalam usaha untuk menyambung pengajian Master, tingkatkan ilmu.

“Ummi.” Suara si kecil menyapanya. Mus’ab, anak sulungnya yang berumur 2 tahun  datang memeluk pehanya, minta didukung. Soleha mengerling ke pintu, rupanya Mus’ab sudah habis bersiar-siar bersama abinya. Soleha memandang  kearah suaminya. Dia tersenyum. Suaminya turut membalas senyuman Soleha. Dia memimpin tangan Mus’ab menuju ke arah suaminya. Soleha menyalami tangan suaminya.

“Ummi dan adik sihat ke hari ni?” Suami Soleha memegang perut Soleha yang sedang sarat mengandungkan anak kedua mereka. Hanya tunggu masa sahaja untuk melahirkan. Mak Soleha juga ada bersama, untuk membantu Soleha sepanjang dalam pantang nanti.

Soleha pandang kekasih-kekasih hatinya itu dalam-dalam. Terasa ada air matanya bergenang di matanya. Subhanallah, mereka juga rezeki dariMu Ya Allah. Maka nikmat Engkau yang manakah mahu aku dustakan? Bantulah aku untuk terus bersyukur akan nikmat-nikmatMu ini.

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan kami menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.”

Ingin berkongsi? Luahkan.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: