Kerana dia adalah ummiku

30 Jan

CONVAR633 (480x640)

Ajaib.

Itulah yang dapat ku ceritakan tentang peribadi seorang wanita yang ku kenal sejak kecil.

Ummi. Bukan sekadar seorang ibu, malah murabbiku, teman jihadku, dan teman akrabku.

Aku tidak mahu mencoret jasa-jasanya setelah dia tiada di dunia. Sebagaimana orang ramai melakukannya. Aku tidak mahu, apabila dia sudah tiada barulah hendak dikenang-kenang budinya. Nah, di sini aku coretkan kenanganku bersama ummi. Moga ia menjadi tatapanku dan ingatanku selalu dan ibrah bagi yang membaca.

Sewaktu kecil. aku selalu menjadi bahan ejekan rakan sebaya. Mungkin kerana tidak secomel rakan-rakanku yang lain. Ummi ajar, jika ada orang ejek, cakap ‘alhamdulillah’. Aku tidak faham, tetapi aku buat sahaja. Apabila aku dewasa, baru aku mengerti, ajaran ummi itu mengajarku untuk bersyukur dengan apa yang ada pada diri. Ummikan murabbiku?
Sewaktu di zaman sekolah, aku diejek kerana memakai baju t-shirt lengan panjang, seluar track dan sandal bersama stokin ketika menghadiri jamuan akhir tahun darjah enam. Kata rakanku, macam nak pergi berjoging sahaja! Apabila aku dewasa, aku sedar, ummi nak ajar aku menutup aurat. Ummikan murabbiku?

Ketika zaman sekolah menengah, ummi marah apabila aku cuba-cuba untuk bercinta monyet. Aku tidak faham. Tetapi apabila aku meningkat dewasa,rupanya ummi  ingin mengajar aku untuk menjaga maruah diri,batas pergaulan dan menanam sifat malu. Ummikan murabbiku?

Masa zaman sekolah, asyik-asyik ummi kata nak sedekah makanan di pejabat. Bila ada kawannya yang perlukan bantuan, dia akan cuba penuhi selagi terdaya. Aku pelik. Aku tanya ummi, kenapa kita nak susah-susah tolong orang? Orang pun bukan nak tolong kita. Rupanya ummi ingin mengajar, sedikit kebaikan yang kita beri pada orang lain, Allah akan tambahkan berlipat kali ganda kebaikan kepada kita, walaupun dalam bentuk yang berbeza,

Ketika di UK, pertama kali aku berjauhan beribu-ribu batu daripada ummi. 4 tahun lebih di sana. Macam-macam masalah melanda. Masalah iman, masalah pelajaran, masalah hati..semuanya ku luahkan kepada ummi. Ummi tetap mendengar dengan sabar dan menasihati sebaiknya. Ummi kata, aku kena berjiwa besar. Ummi selalu suruh aku akrab kembali dengan Allah. Ummi kata jika aku ada masalah dengan manusia, maksudnya aku ada masalah dengan Allah. Aku turuti. Ummikan teman akrabku.

Semakin dewasa, ummi bagai rakan akrabku. Hampir semua benda yang ku alami akan ku ceritakan padanya. Kadang-kadang jika ada masalah, ingin juga merahsiakan. Tetapi ummi cepat menghidu kelainan pada sikap dan riak wajahku. Dia mendengar dengan setia. Dari permasalahan sekecil nak beli baju apa sehinggalah kepada permasalahan berat seperti masalah dakwah dan tarbiyah. Ummi dengar dengan teliti. Ummi beri cadangan dan nasihat. Ummikan teman jihadku?

Dan saat ini, ketika saat akan masuk ke fasa baru dalam kehidupan, alam kerjaya, ummi masih mengambil berat. Ummi yang lebih risau bertanyakan persiapanku. Baju cukupkah? Sudah dapat tempat tinggal? Dan macam-macam lagi.

Sebab itu, jangan ada yang berani melukakan hati ummi. Jika hati ummi terluka, maka hatiku akan turut terluka.

Jika aku hebat semalam, ketahuilah, itu kerana ada sosok sehebat ummi dibelakangku.

Jika aku hebat hari ini, ketahuilah, itu kerana ada sosok sehebat ummi disampingku.

Jika aku hebat di hari esok, ketahuilah, itu kerana ada sosok sehebat ummi yang sentiasa bersamaku.

Tidak mampu rasanya mencoret kebaikan-kebaikan ummi. Terlalu banyak. Allah itu Maha Penyayang kan? Salah satu rahmatnya adalah menumpahkan rasa kasih seorang ibu kepada anak-anaknya.

Teringat kata-kata ummi yang masih tersemat dalam hatiku.

“Ummi buat baik kepada anak-anak sebab ummi sedar tanggungjawab ummi sebagai ibu yang Allah dah tetapkan. Sebab tu kalau anak-anak buat apa pun, ummi selalu pesan pada diri supaya redha sebab redha Allah terletak pada redha ibu bapanya.”

Hari ini aku renung kembali. Sudahkah aku melunaskan tanggungjawab aku sebagai anak yang solehah kepada ummi? T_T

Ya Allah, rahmatilah ummi dan kasihanilah dia sebagaimana dia telah mengasihaniku ketika aku kecil. Ameen!

Ingin berkongsi? Luahkan.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: