Cerpen : CHESS

17 Feb

Cerpen ni dah ditulis tahun lepas, kemudian di edit-edit.

Hajatnya cerpen ini dan satu cerpen lagi, kerana engkau adalah ayah, nak dimasukkan dalam kumpulan cerpen gabungan dengan kawan-kawan yang minat menulis juga.

Memandangkan tak jadi, masuklah ia ke dalam blog ini.🙂

Moga mendapat manfaat daripada cerpen ini.

^^

Sahabat, jika aku jatuh, sambutlah tanganku kembali.

CHESS

By Husna Zaki

    Ruang dewan itu cukup besar. Enam barisan meja berlapikkan kain kasar berwarna merah hati tersusun kemas memenuhi dewan. Susunannya memanjang, bermula daripada kira-kira empat meter dari pentas utama hingga ke tiga meter sebelum mencecah ke dinding belakang dewan.  Dikiri kanan meja tersusun kerusi sekitar  20 buah kerusi di setiap bahagian. Susunan ini boleh memuatkan sekitar 40 peserta pada satu barisan meja. Secara kasar, dewan ini mampu memuatkan 240 peserta dalam satu-satu masa. Hampir setiap tempat duduk berpenghuni kecuali beberapa tempat yang  lompong. Mungkin sahaja peserta tersebut ke tandas atau mereka sudah menamatkan permainan. Itu fikiran Tasneem.

Di atas pentas , terdapat enam buah meja. Terdapat dua arbiter di setiap meja. Setiap meja mewakili setiap kategori pemain. Ada enam kategori yang dipertandingkan. Kategori lelaki dan perempuan bawah lapan belas tahun, kategori lelaki dan perempuan bawah lima belas tahun dan kategori lelaki dan perempuan bawah dua belas tahun. Lazimnya setiap daerah menghantar empat orang wakil bagi setiap kategori. Ini menggenapkan jumlah peserta sebanyak 240 bagi 10 daerah.

Tasneem menarik nafas dalam-dalam. Dirinya tertarik untuk melihat perlawanan yang sedang berlangsung di meja bernombor satu, kategori perempuan bawah 18 tahun. Anak gadis itu sangat dikenalinya. Kira-kira lima tahun dahulu, gadis itu masih menuntut di sekolah rendah dan bermain bagi kategori perempuan bawah 12 tahun mewakili negeri Perak. Tasneem tersenyum sendiri. Terimbau kenangan lama.

“ Jadi macam mana?Rindu suasana dahulu?” Raudhah, sahabat baik Tasneem yang daripada tadi setia menemani Tasneem di dalam dewan itu separuh berbisik. Tasneem tersengih. Memandang kepada Raudhah.

“Sikit la.” Dia senyum.

“So… mungkin Along boleh fikirkan balik tawaran Alang tadi.” Raudhah berterus terang. Tanpa banyak bicara. Along adalah panggilan Raudhah kepada Tasneem sejak zaman sekolah.  Ketika di tingkatan lima, Tasneem yang mencadangkan panggilan itu mengikut tarikh lahir mereka. Hal ini untuk menambah kemesraan diantara mereka, biar seperti adik-beradik. Hakikatnya mereka adalah bertiga dan sebaya. Seorang teman lagi digelar Angah,tetapi daripada sekolah yang berlainan.

Chess Trainer?” Tasneem memohon kepastian.

Correcto!” Raudhah mengiyakan sambil memetik jarinya,kemudian membuat isyarat tangan seperti pistol. Tabiat daripada zaman sekolah yang masih kekal.

“ Along dah lima tahun la tak main chess ni. Macam mana nak jadi trainer? Silap-silap kalah teruk anak buah Alang nanti. “ Tasneem cuba mengelak.

“Ala along ni. Ilmu dah ada kan? Practise sikit-sikit, nanti jadi la terror macam dulu.” Raudhah angkat kening dua kali. Cuba memujuk.

“Lagipun… apa Mr Tam gelar Along? Ratu Catur?” Raudhah tergelak.

“Haissh… jangan disebut gelaran itu.” Jari telunjuk kanan Tasneem digerak-gerakkan dihadapannya.  Tersenyum. Tampak barisan giginya yang tersusun elok. Raudhah juga terkekek-kekek ketawa. Tasneem memberi isyarat supaya Raudhah memerlahankan suaranya memandangkan beberapa pemain sedang melihat gelagat mereka. Mungkin juga merasa terganggu. Menyedari hal itu, Raudhah cepat-cepat menarik Tasneem keluar daripada dewan untuk meneruskan perbincangan.

“Along, bolehla. Alang  tak jumpa siapa pun yang sesuai untuk jadi trainer kepada student Alang melainkan Along.” Raudhah masih menaruh harapan. Dia merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Bandar Kota, Taiping. Sebuah sekolah harian.

“ Bukan ke dekat sekolah Alang tu ada Cikgu Zakwan? Kenapa dia je tak jadi trainer?“  Gadis berumur 24 tahun itu senyum lagi. Matanya memandang terus mata Raudhah. Dia teringat kepada seorang pemain catur lelaki yang cukup hebat semasa zamannya dahulu. Zakwan Firdausi namanya. Raudhah pernah memberitahunya minggu lepas bahawa lelaki itu baru sahaja ditukarkan ke sekolah itu.

“ Tak sama, Along. Along lagi hebat.” Raudhah tersengih. Tasneem istighfar didalam hati. Hebat apalah yang dipandang oleh rakannya itu jika hendak dibanding dengan Zakwan Firdausi yang memegang rekod Johan Catur  setiap kategori lelaki daripada umurnya 12 tahun lagi ketika di zaman sekolah?

“ Mana ada. Zakwan tu lagi hebat la Alang. Along percaya kalau dia yang jadi trainer semua anak  buah Alang, mereka semua boleh wakil Perak tahun ni.” Raudhah senyum sahaja mendengar kata-kata Tasneem.

“Memang boleh. Tapi Alang nak diorang berjaya lebih daripada menjadi wakil Perak. Zakwan memang dah jadi trainer bagi pelajar lelaki. Tetapi untuk pelajar perempuan, Alang sebagai Pengurus Pasukan tidak rela menyerahkannya kepada Zakwan. Sebab Alang nak mereka mendapat lebih daripada sekadar mewakili negeri.” Terpancar sinar daripada mata Raudhah. Pandangannya seolah-olah menanggung sebuah harapan.

“Maksud Alang? “ Tasneem jadi keliru. Pencapaian apa lagi yang dikehendaki oleh Raudhah buat anak buahnya itu? Sepanjang dia terlibat dengan arena catur, tidak ada benda lain yang dihajati oleh setiap jurulatih dan pemain melainkan pemain dapat menjadi juara dan melayakkan diri ke peringkat kebangsaan untuk mewakili negeri.

“Alang mahu anak-anak buah Alang jadi juara yang bersahsiah Muslim.” Raudhah memegang bahu Tasneem. Tasneem terdiam mendengar luahan itu.

“Dan Along sahaja yang mampu melakukannya. Macam yang Angah buat dekat Along dulu.” Tasneem tersentak mendengar nama Angah. Hatinya jadi hiba.

“Hei budak.. tunggu sekejap.” Tasneem kini berani mengangkat mukanya dan berpaling ke belakang ke arah Ummu Aiman. Ummu Aiman berpaling. Dia senyum lagi. Tasneem benci melihat senyumannya. Senyuman gadis itu seakan-akan ingin mengejek keadaan dirinya kini.

“Ya?” Ummu Aiman bersuara.

“Kenapa kau tolong aku. Aku kan musuh kau.” Tasneem memohon kepastian.

“Betul kau nak tahu?” Ummu Aiman menguji. Tasneem mengangguk. Ummu Aiman melangkah kembali ke arah Tasneem. Dia menundukkan badannya sedikit, sama aras dengan Tasneem yang sedang duduk itu.

“Sebab..” Dia mula berbicara.

“Nahnu dua’at qabla kul la sha’in.” Dia tersenyum  sebaik malafazkan kata-kata itu. Lalu terus bangun dan meninggalkan Tasnem yang tiba-tiba membatu.

Tasneem terdiam. Kata-kata itu sangat menyentuh hatinya. Terasa bagai ada satu perasaan aneh menyelinap ke dalam hati. Tidak semena-mena, air matanya gugur.

“Kami adalah dua’at sebelum yang lain.”

“Hah? “ Raudhah terkejut.

“Apa Along cakap?” Raudhah tidak dapat menangkap kata-kata Tasneem sebentar tadi.

“Eh tak ada apa.” Tasneem tersedar daripada lamunannya.  Air mata yang entah bila bergenang segera disapunya. Raudhah menggeleng-geleng kepala. Tasneem senyum. Dia akhirnya meminta Raudhah memberinya masa sehari lagi untuk memikirkan tawaran itu. Raudhah bersetuju. Wajahnya tampak ceria, menjangka akan ada berita gembira yang akan diterima daripada mulut  Tasneem esok. Raudhah kemudian mengajak Tasneem untuk ke dewan pertandingan untuk kembali menonton pertandingan yang mereka tinggalkan tadi. Tasnem hanya mengangguk dan mengekori Raudhah.

“Angah…Along rindu Angah.” Hati Tasneem kembali berbisik.

***

Cuaca pada petang itu agak panas. Kelihatan sekumpulan murid berada di bawah sepohon pokok, betul-betul bersebelahan dengan Astaka sekolah, tempat pelajar-pelajar sekolah berhimpun. Seorang wanita berbaju kurung moden berwarna biru turut berada disitu. Dia tampak sibuk mencoret sesuatu pada kertas.

Tasneem berada kira-kira lima meter daripada mereka. Dia masih tercegat disitu sejak lima minit yang lalu. Keadaannya kini seperti orang yang serba salah.

“Nak cuba ke tak nak? Nak cuba ke tak nak? Nak cuba ke tak nak?” Tasneem masih ragu-ragu. Dikerling jam tangan di lengan kirinya. Hampir pukul 1.00 tengahari. Loceng sekolah akan berbunyi kira-kira lima minit lagi menandakan waktu persekolahan pelajar sesi petang akan bermula.

Tasneem menarik nafas dalam-dalam dan menghembus. Akhirnya dia mengatur langkah kearah kumpulan tersebut. Fizikalnya yang agak rendah dan kecil jika hendak dibandingkan dengan senior yang lain menghalangnya untuk berada di barisan paling hadapan. Kadang-kadang dia terjengket-jengket disebalik bahu mereka untuk cuba mencari peluang mencelah. Tetapi ternyata tidak mampu. Dia mengeluh. Agak lama dia begitu.

“Ah..senior yang mementingkan diri.” Getus hatinya.

“Ok, saya nak tutup penyertaan dah ni. Ada sesiapa lagi nak memberi nama.?” Terdengar suara dari wanita berbaju kurung moden biru itu. Cikgu Adibah namanya.

“ Cikgu,saya!” Tasneem tidak tahu bagaimana dia mendapat kekuatan untuk bersuara. Tangan kanannya diangkat tinggi. Serentak dengan itu seluruh  mata yang berada disitu tertumpu padanya. Tasneem menelan air liur. Menakutkan sekali pandangan mata mereka. Suasana tiba-tiba jadi sepi.

“Siapa nama kamu, dan dari tingkatan berapa? “ Pertanyaan Cikgu Adibah memecah kesunyian.

“Bagi dia laluan.” Beberapa pelajar akhirnya beralih sedikit memberi laluan kepada Tasneem untuk berada dekat dengan Cikgu Adibah yang berada di bahagian tepi Astaka. Cikgu Adibah sedang duduk berhadapan sebuah meja kayu.

“Tasneem Binti Mohd Syawal. Dari tingkatan 2 Hibiscus, cikgu.” Tasneem sudah berada dihadapan meja tersebut.

“Awak baru tingkatan dua?” Cikgu Adibah memohon kepastian. Pelajar-pelajar lain juga terkejut. Tasneem hanya mengangguk perlahan.

“Kami tak ambil pelajar  tingkatan satu dan tingkatan dua. Hanya pelajar tingkatan tiga dan ke atas sahaja layak untuk mewakili sekolah. Lagipun..awak ni tahu ke main catur?” Cikgu Adibah memandang Tasneem atas dan bawah.

“Saya tahu main cikgu.” Ringkas balasan Tasneem.

“ Wei budak. Kalau setakat baru tahu nak jalan pawn, baliklah. Sini bukan tempat kau.”

“Ada hati nak lawan senior tu.”

Tasneem panas hati mendengar herdikan-herdikan daripada senior-seniornya. Tetapi dia terus bersabar memandangkan Cikgu Adibah berada dihadapannya. Dia masih ingat pesan ayah supaya sentiasa menghormati guru.

“Cikgu, saya harap cikgu dapat beri peluang pada saya. Saya pernah main di pertandingan-pertandingan luar dan memenangi beberapa perlawanan. Dan saya yakin, dengan pengalaman yang saya ada itu saya mampu untuk mengharumkan nama sekolah” Tasneem cuba untuk mendapatkan simpati Cikgu Adibah.

“Hmm, menarik. Pengalaman macam mana yang awak maksudkan tu?” Cikgu Adibah ingin tahu. Tasneem tersenyum. Ada harapan ni.

“Saya pernah menyertai pertandingan yang dianjurkan Persatuan Catur Antarabangsa Perak dan memenangi kategori pemain wanita terbaik dalam pertandingan itu. Saya juga pernah menyertai pertandingan di negeri-negeri lain seperti di Kuala Lumpur dan Selangor. Dengan kata lain, saya sudah biasa berada di dalam arena catur.” Tasneem menceritakan pengalaman-pengalamannya.

Cikgu Adibah sedikit teruja. Pelajar yang lain juga ada yang begitu. Suara-suara sumbang tadi tidak lagi kedengaran melainkan sedikit yang  masih tidak berpuas hati.

“Cikgu, jangan percaya bulat-bulat kata-kata budak ini. Suruh dia main dulu la, baru boleh ambil dia.” Tasneem dapat menangkap raut wajah pemilik suara. Seorang pelajar tingkatan lima. Jika dia tidak silap, bernama Nurul Aqilah.

“ Hurm, awak muda lagi. Lawan-lawan awak nanti semuanya yang lebih berusia dan berpengalaman daripada awak, tahu tak? Kalau awak boleh kalahkan senior-senior di tingkatan tiga dalam sesi pemilihan nanti, saya akan ambil awak mewakili sekolah. Boleh ke kalau macam tu?” Akhirnya Cikgu Adibah sedikit berlembut apabila mendengar tentang pengalaman Tasneem. Pelajarnya yang lain belum pernah lagi terlibat dengan mana-mana perlawanan catur di luar. Semuanya hanya bermain diperingkat sekolah. Paling tinggi, mereka hanya layak ke peringkat negeri mewakili daerah.

“Boleh.” Tasneem tersenyum puas. Tidak sabar rasanya menunjukkan kebolehannya pada semua. Dia tidak mahu dianggap budak hingusan oleh mereka.

“Baik, sekarang ini saya kira tiada sesiapa lagi yang ingin memberi nama. Perlawanan saringan akan diadakan pada hari Sabtu ini pada pukul 8.30 pagi. Ini jadual perlawanan untuk hari itu. Berusaha ya semua!” Cikgu Adibah membahagi-bahagikan kertas berwarna kuning yang mengandungi perincian jadual hari pertandingan. Tasneem mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Adibah dan beberapa detik kemudian loceng sekolah pun berbunyi. Semua pelajar akhirnya  bergerak ke dewan sekolah untuk menghadiri perhimpunan.

Hari yang ditunggu-tunggu Tasneem akhirnya tiba. Tasneem sudah berada di perkarangan sekolah sejak 8.00 pagi tadi. Begitu bersemangat dia pada hari ini. Kini dia berada di dalam Bilik Gerakan, bilik yang akan diadakan perlawanan saringan sebentar sahaja lagi. Dia mengira-ngira bilangan peserta yang akan mengambil bahagian pada hari ini. Hampir 30 puluh orang untuk dua kategori. Banyak juga.

Cikgu Adibah yang datang paling awal hari ini. Dia tampak sibuk bersama Mr. Tam, seorang guru lelaki berbangsa Cina yang turut terlibat dalam pemilihan pelajar mewakili sekolah ke Pertandingan Catur Peringkat Daerah. Buah catur telah tersusun elok di setiap meja perlawanan. Tasneem turut membantu menyusunnya tadi. Kelihatan peserta-peserta lain sibuk berlatih sesama mereka. Ada juga yang hanya duduk-duduk sepertinya menunggu pengumuman daripada Cikgu Adibah Dan Mr. Tam. Tasneem seakan-akan sendiri disitu. Masakan tidak, semuanya lebih berusia daripadanya. Kawan-kawan yang seusianya langsung tidak menunjuk minat untuk terlibat dalam arena catur. Kata mereka  main catur ini bosan, buat orang mengantuk sahaja. Tetapi Tasneem tidak endah. Dia perlu buktikan yang dia mampu pergi jauh dalam arena catur ini.

Kalau ada yang seusia dengannya di bilik ini hanyalah…

“Hei kau. Buat apa kat sini?” Tasneem hanya memandang pemilik suara yang berada kira-kira dua meter daripadanya itu dengan pandangan yang kosong.

“Dia ni lagi.” Hatinya berbisik.

“Wei wei, tak dengar ke aku cakap dengan kau ni.” Tasneem terkejut. Tidak sedar Si Pemilik Suara sudah berada dihadapannya.

“Kau buat apa kat sini?” Tasneem membalas dengan soalan. Pertanyaan Si Pemilik Suara dibiarkan tanpa jawapan.

“Aku nak tengok kakak aku main la. Dan aku sendiri menjadi peserta.” Balas Raudhah sambil tersengih. Dia sekelas dengan Tasneem. Adik kepada senior yang memperlinya tempoh hari, Nurul Aqilah.

“Dan kau? Jangan cakap kau pun nak lawan chess hari ni.” Raudhah memohon kepastian.

Well..”. Tasneem bangun daripada tempat duduknya.

You got it right.” Dan bergerak ke arah hadapan bilik. Dia duduk disitu bersama-sama para peserta yang lain. Mr. Tam telah pun meminta mereka untuk berkumpul mendengar taklimat perlawanan.

“Biar betul kau ni. Kau kan baru tingkatan dua. Mana layak.” Raudhah yang mengekorinya masih tidak berhenti bertanya.

“Siapa kata aku tak layak. Wait and see la. Kau tu bukan tingkatan dua jugak ke? Kenapa boleh masuk pula?” Mata Tasneem tidak lari dari terus memberi tumpuan kepada ucapan Mr. Tam.

“ Huh. Kau akan kalah punya kalau ada dia.” Raudhah bersuara. Dia tidak mahu menjawap pertanyaan Tasneem. Kali ini dia mampu membuatkan Tasneem menoleh ke arahnya.

“Siapa? Kakak kau?” Tasneem bertanya.

Correcto!” Raudhah mengiyakan. Jari telunjuk kanannya dituju ke arah Tasneem dan ibu jarinya keatas. Seakan-akan posisi memegang sepucuk pistol.

“Biarlah dia.” Tasneem malas hendak melayan gertakan Raudhah. Dia kembali menumpu kehadapan. Raudhah memuncungkan bibir. Geram dengan tindakan endah tidak endah Tasneem. Sebenarnya Raudhah sudah lama ingin bersahabat dengan Tasneem tetapi selalu tidak dipedulikan oleh Tasneem memandangkan Tasneem menganggap Raudhah ingin mengambil kesempatan ke atasnya atas sebab kepintaran yang ada padanya. Ini dia selalu dengar daripada kawan-kawan sekelasnya yang lain. Dia sendiri kurang pasti.

Taklimat perlawanan daripada Mr. Tam akhirnya berakhir beberapa minit kemudian. Pusingan pertama akan bermula tidak lama lagi. Tasneem memerhatikan kertas Paring yang dilekatkan di dinding. Pusingan pertama dia memegang warna putih dan perlu berlawan dengan seorang pelajar tingkatan empat.

Tasneem mengambil tempatnya. Pelajar tingkatan empat itu juga sudah berada dihadapannya. Mereka bersalaman. Apabila isyarat mula sudah diberikan, Tasneem mula membuat pergerakan buah catur putihnya. Sebuah Pawn di hadapan King digerakkan dua langkah kehadapan. Dia memandang ke arah  hadapan. Menunggu pergerakan dari lawannya.

Lawannya memegang Pawn di petak paling hujung dihadapan Rook. Dia menggerakkan dua petak ke hadapan. Tasneem terkejut.

“Biar betul. Opening pun dan corrupt. Tak control centre. Pemain macam mana yang cikgu ambil ni?” Kata-kata itu hanya  mampu bermain di hatinya.

Tasneem kembali meneruskan pergerakan kedua dan begitulah sebaliknya. Bergilir-gilir dengan lawannya. Dan akhirnya..

Checkmate.” Tasneem bersuara. Peserta lain memandang  ke arah meja yang diduduki Tasneem. Perlawanan baru bermula kira-kira tiga minit. Dan perlawanan mereka sudah selesai?

“Maaf kak.” Tasneem bersuara. Walaupun dia ingin menang, tetapi dia berasa sedih melihat wajah kakak yang berada dihadapannya kini. Sangat suci dan bersih raut wajahnya.

“Eh tak apalah adik.” Kakak itu senyum. Tetapi sedikit kelat. Mungkin sedih kalah dengan budak muda sepertinya. Tasneem bangun untuk melaporkan kemenangan kepada Mr.Tam. Sepanjang perjalanannya ke meja hadapan, dia perasan ada mata-mata yang memerhatikan pergerakannya.

“Alah, aku guna 4 steps checkmate aje. Tak hebat lagi tu. Janganlah teruja sangat.” Hati Tasneem berkata-kata dan tersenyum. Benih ujub sudah mula tertanam. Syaitan sudah mula menyucuk-nyucuk hatinya untuk menyuburkan lagi perasaan itu. Dia tidak tahu bahawa perasaan itulah nanti yang bakal memakan dirinya sendiri.

“Cepatnya.” Mr. Tam yang perasan akan kemenangannya itu turut teruja. Tasneem hanya senyum.

“Selepas ini akan ada lebih lagi kemenangan, Sir.” Tasneem bercakap dengan angkuhnya. Mr. Tam hanya tersenyum. Dia tidak kisah siapa pun yang menang, asalkan mampu mengharumkan nama sekolah. Cikgu Adibah juga memberi isyarat bagus dengan ibu jarinya.

Masa berlalu terasa pantas. Tasneem memenangi keenam-enam pusingan termasuk pusingan terakhir ketika berlawan dengan pemain terbaik sekolah, Nurul Aqilah. Senior-seniornya sudah mula memuji dan mengaguminya. Nurul Aqilah juga nampak seperti terpaksa akur dengan kehebatan Tasneem. Senarai pelajar yang terpilih telah diumumkan. Tasneem, Raudhah dan seorang pelajar India tingkatan tiga terpilih untuk mewakili kategori bawah 15 tahun. Manakala untuk kategori bawah 18 tahun, kak Nurul Aqilah dan dua orang lagi rakannya turut terpilih.

***

Kira-kira 3 tahun tempoh berlalu sejak perlawanan saringan pertama yang disertai Tasneem di sekolahnya. Selepas perlawanan itu, mereka berenam memulakan langkah menyertai perlawanan di peringkat daerah. Hubungan antara Tasneem dengan Raudhah dan kakaknya juga bertambah baik. Ternyata Tasnem bukan calang-calang pemain, dia memenangi semua perlawanan lantas melayakkan dia mewakili daerah ke peringkat negeri. Raudhah dan kakaknya Aqilah tewas dengan masing-masing di tempat kelima bagi kategori mereka. Mata yang dipungut mereka dengan pemenang tempat ketiga dan keempat adalah sama, tetapi memandangkan sistem tie-break, mereka terpaksa akur dengan keputusan arbiter.

Di peringkat negeri, walaupun persaingan agak sengit, pencapaian Tasneem agak menyerlah. Dia menjadi juara pada tahun itu lantas memberi khabar gembira buat sekolahnya. Sejak daripada itu dia digelar Ratu Catur oleh Mr Tam di sekolahnya.  Semakin lama, namanya semakin melonjak naik. Begitulah kejayaan yang diperoleh setiap tahun. Dia menjadi johan berturut-turut di peringkat negeri bagi setiap kategori perempuan yang dia sertai. Pastinya, setiap tahun muncul wajah-wajah baru yang memberi saingan sengit, tetapi ternyata pengalaman dan kemahiran Tasneem dalam sukan ini tidak memberi peluang pada yang lain untuk merebut gelarannya.

Tahun ini merupakan tahun terakhir Tasneem berada di alam persekolahan. Bermaksud tahun terakhir juga buat Tasneem mempertahankan gelaran yang disandangnya 3 tahun berturut-turut. Hatrik!

Hari ini bakal bermula perlawanan peringkat negeri. Dia sangat bersemangat hari ini. Tambahan Raudhah turut bersamanya hari ini kerana dia juga terpilih untuk mewakili daerah pada tahun ni.

“Tu la dia champion 3 tahun berturut-turut.”

“Orang siap panggil dia Ratu Catur”

Terdengar-dengar bisikan peserta lain setiap kali Tasneem dan Raudhah melewati mereka. Tidak kurang yang bertegur sapa dengan Tasneem. Tasneem cukup terkenal rupanya.

“Wei..wei.. Dahsyatnya pengaruh kau ni. Tu budak lelaki banyak usha kau tu.“ Raudhah yang seakan takjub dengan suasana baru yang dialaminya menguis bahu Tasneem disebelahnya.

“Apsal?” Tasneem buat wajah bingung.

“Dengar tak aku cakap? Hebatnya kau. Semua orang pandang dan kenal kau.” Raudhah bersungguh-sungguh bercerita.

“Kau baru tahu? Setiap tahun pun macam tu. Aku dah tak kisahla. Poyo semacam aje aku tengok“ Tasneem bermegah. Raudhah mencebik. Dia paling tidak suka apabila Tasneem mula berlagak.

“Dah la. Jom kita masuk dewan pertandingan cepat. Ini pertama kali kau wakil daerah kan? Gambatte!” Tasneem menepuk-nepuk belakang Raudhah dan menolaknya sedikit untuk mara ke hadapan. Raudhah kembali tersenyum dengan reaksi  Tasneem.

Senarai paring sudah dilekatkan di pintu luar dewan. Tasneem memerhati dengan baik. Dia bermain buah hitam untuk pusingan yang pertama ini di meja nombor 1. Lawannya adalah daripada Daerah Hilir Perak. Dia turut mencari-cari nama Raudhah.  Meja nombor 13. Agak terkebelakang. Pusingan pertama selalunya pusingan penentu untuk menetapkan kekuatan setiap pemain. Jadi tidak mustahillah Raudhah bermain di meja nombor yang agak terkebelakang memandangkan dia baru pertama kali menyertai pertandingan peringkat negeri. Dia sendiri yang berada di meja nombor 1 sudah dijangka semua dan pastinya akan kekal di meja itu sehingga ke pusingan yang terakhir. Kekuatannya hampir diketahui semua arbiter.

“Tasneem, gembira dapat jumpa awak lagi tahun ini.” Suara garau itu membuat Tasneem dan Raudhah menoleh ke belakang hampir serentak.

“Oh, Cikgu Muiz.” Tasneem tersenyum kepada lelaki separa abad itu. Rambutnya berombak, bagai berselang seli warna hitam dan putih.

“Tasneem, tahun ini main elok-elok. Peringkat kebangsaan tahun ini akan di buat di Labuan.” Cikgu Muiz memberi semangat. Dia adalah Pengurus Pasukan Negeri Perak pada Kejohanan Catur Peringkat Kebangsaan tahun lepas. Tasneem yang terpilih mewakili Perak tahun lepas sudah tentu cukup mengenalinya.

“Labuan?” Tasneem dan Raudhah berkata hampir serentak. Tasneem sangat teruja. Sejak kecil dia berhajat untuk menaiki kapal terbang.

“Saya cuba, cikgu.” Tasneem membalas ringkas.

“Baguslah. Saya masuk dahulu.” Cikgu Muiz kemudian berlalu.

***

Sudah dua hari perlawanan berlangsung. Hari ini merupakan hari terakhir perlawanan catur peringkat negeri. Tinggal dua pusingan sahaja lagi. Tasneem menang keempat-empat pusingan sebelum ini. Manakala Raudhah menang dua dan seri satu daripada keempat-empat pusingan tersebut.

Tasneem yang duduk di salah sebuah meja di dewan makan itu sibuk memerhati gelagat peserta lain. Sesekali ada beberapa peserta yang datang kearahnya , berbasa-basi dengannya. Tasneem acuh tidak acuh sahaja melayan mereka. Apabila mereka beredar, Tasneem mengalih pandangan ke arah Raudhah yang masih beratur mengambil makanan. Pandangannya dialihkan ke siling dewan makan itu. Agak lama dia begitu.

“Haaisshhh…” Satu keluhan berat dilepaskannya.

“ Berat mengeluhnya tu. Apsal ni? Ada masalah negara ke?” Raudhah yang baru muncul, mengambil tempat disebelah Tasneem.

Tasneem hanya memandang sekilas. Kemudian dia menampung dagunya dengan kedua-dua tangannya diatas meja.

“Bosan la.” Tasnem menjawab ringkas.

“Bosan? Apa yang bosan? Tak kan chess?.” Raudhah tidak faham. Dia menyuap bihun goreng di dalam pinggan ke dalam mulutnya menggunakan garfu.

“Bukanlah.” Tasneem jawab acuh tidak acuh.

“Dah tu? Apa yang kau bosannya? Hari ni ada dua perlawanan penting tau. Janganlah lemah semangat macam ni.” Raudhah agak risau dengan keadaan Tasneem.

“Perlawanan hari ini sangat penting. Nama kau dah melonjak naik. Kalau kau jadi johan juga tahun ni, dapat pergi Labuan tau. Dan kau jadi lagi popular.” Raudhah memberi semangat.

“Kau rasa popular tu best ke?” Tasneem masih setia berada di posisinya.

“Mestilah. Ramai orang suka kat kau.Kau ramai kawan.” Raudhah membalas yakin.

“Tapi aku rasa kosong la. Kosong. Popular tetapi kosong. Buat apa?” Tasneem meluahkan perasaan. Raudhah terkejut. Dia memberhentikan suapan makannya. Kemudian menepuk bahu Tasneem perlahan.

Dude. Kalau kau ada masalah, ceritalah aku sedia mendengar.”

“Sekarang ni aku rasa semua orang yang nak kawan dengan aku sebab aku ni popular. Diorang tidak ikhlas kawan dengan aku.” Tasneem kembali membetulkan posisi duduknya. Dan kemudian mengalih pandangan  kepada Raudhah. Raudhah hanya senyap.

“Kau… kawan dengan aku sebab aku popular ke?” Pertanyaan Tasneem itu benar-benar buat Raudhah terpana. Lidahnya jadi kelu.

“Aku…”

“Assalamulaikum. Tumpang tanya…” Satu suara lembut dari arah hadapan mereka terus mematikan soalan Tasneem sebentar tadi.

“Ya?” Raudhah cepat-cepat membalas. Dihadapannya ada dua gadis bertudung labuh separas pinggang. Masing-masing membawa sebuah pinggan berisi bihun goreng dan segelas air teh panas.

“Maaf jika kami menganggu. Dekat sini ada siapa-siapa duduk ke?” Salah seorang daripada mereka bersuara sambil bibirnya menunjuk ke arah kerusi dihadapan mereka.

“Tak ada. Duduklah.” Raudhah membalas teragak-agak. Dia sedikit terkejut dengan kehadiran dua orang gadis itu. Kedua-dua gadis itu mengucapkan terima kasih.

“Wei, kau tak jawab lagi soalan aku tadi.” Tasneem sedikit berbisik kepada Raudhah. Dia tidak puas hati pertanyaannya tadi terganggu dengan kehadiran dua gadis bertudung labuh di hadapannya.

“Err… soalan tu ke? “ Suara Raudhah perlahan. Tersekat-sekat.

“ Eh..awak ni la Tasneem ye?” Teguran itu membuat Tasneem dan Raudhah kembali  memandang ke hadapan.

“ Ya. Kenapa?” Tasneem sedikit terganggu. Dia menarik nafas, menghembus perlahan kemudian menyambung,

“Kau pun nak kawan dengan aku sebab aku popular?” Tasneem tidak mampu mengawal emosinya. Dia terus bangun dan meninggalkan meja makan. Raudhah kaget melihat reaksi Tasneem. Beberapa peserta yang duduk berhampiran mereka turut memerhatikan gelagat mereka. Raudhah cepat-cepat bangun dan memohon maaf kepada dua orang gadis yang terpingga-pingga di hadapannya. Lalu dia pun mempercepatkan langkah untuk mengejar Tasneem yang sudah berada di pintu dewan makan.

***

Tasneem terasa tebal muka. Gadis yang menegurnya di dewan makan tadi kini adalah lawannya pada pusingan kelima? Dia berasa malu. Tidak tahu di mana dia ingin menyorok mukanya.

Dia jadi pelik melihat gadis dihadapannya ini. Hampir berbungkus keseluruhan tubuhnya. Tudung yang dia pakai labuh separas pinggang. Lengan baju kurungnya berkancing. Pelik bukan kerana pemakaiannya, kerana pernah sahaja dia menemui pelajar berpakaian sebegini ketika dia mewakili sekolah dalam kuiz bahasa arab. Hah. Dia dapat mewakili sekolah pun kerana dia mahir sedikit berbanding kawan-kawannya. Untung ayahnya menghantar dia ke kelas agama di zaman sekolah rendah dahulu.

Jadi apa yang pelik?

“Tak sangka dapat main dengan awak, Tasneem.” Gadis dihadapannya tersenyum manis.

Itulah yang dia pelik. Gadis itu langsung tidak menunjukkan riak marah atau benci padanya. Yalah, selepas peristiwa dia dimalukan oleh dirinya di Dewan Makan tadi. Asyik tersenyum daripada tadi.

“Dia ni tak penat ke senyum?” Hati Tasneem berbisik.

“Erm.” Tasneem membalas senyuman gadis itu. Kelat sekali.

Tasneem melarikan pandangan matanya daripada bertembung dengan mata gadis itu. Matanya melilau mencari kawan-kawannya yang lain. Di hujung dewan dia dapat lihat jurulatih pasukannya. Jurulatihnya tersenyum. Jurulatihnya kemudian mengangkat jari telunjuk kanannya, kemudian melalukannya laju di tengkuk. Isyarat seperti sembelihan.

“Hapuskan. Hngghh.” Hati Tasneem berbisik. Dia sudah faham dengan isyarat itu.

Tasneem mengangkat tangan kirinya, jari telunjuk dan ibu jari kirinya disatukan membentuk bulatan. Tiga lagi jarinya dibiarkan tegak ke atas. Dituju ke arah jurulatihnya. Jurulatihnya kemudian membalas dengan ibu jari kanan diangkat tanda bagus.

Tasneem perasan, gadis dihadapannya memerhatikan tingkah lakunya. Dia buat endah tidak endah.

***

Tasneem rasa terperangkap. Pergerakan apa ini? Dia memerah otaknya untuk memikirkan jalan keluar yang terbaik. Masanya terus berjalan.

Force move. Tak perlu fikir.” Gadis dihadapannya bersuara. Sedikit berbisik. Takut menganggu pemain lain.

“Hah?” Tasneem memandang gadis itu.

“Macam dalam kehidupan seorang Muslim. Apabila kita memilih untuk hidup sebagai Muslim, penyerahan secara total kepada Allah dan mengikut sistemNya adalah wajib. Tiada jalan lain. Suka atau tidak. Hanya ada satu pilihan yang selamat. Force Move.” Gadis itu menerangkan. Tasneem tampak lagi bingung.

“Kau merepek apa ni budak?” Tasneem bengang. Dia terasa psikologinya bagai ditekan. Saat ini dia dapat rasakan dia diambang kekalahan tetapi dia tidak mahu menyerah.

“Tu, kau nak selamatkan Queen kau kan? Tetapi tak ada tempat lari.  Kalau lari maka aku akan checkmate kau. Dah jelas. Kenapa perlu buang masa fikir? Force move. Nak tak nak memang kau kena makan Rook aku. Jangan buang masa kau fikirkan jalan lain yang dah jelas kebenarannya dalam hidup ini.” Gadis itu senyum memandang Tasneem. Dia memang tidak pernah lekang daripada senyuman.

“Tiada jalan lain? Jalan terbaik?” Hati Tasneem berbisik.

Dia terus melaksanakan pergerakan seperti kata-kata gadis dihadapannya. Jam catur ditekan. Menamatkan gilirannya.

“Tak sukar kan buat pilihan? Kau dah selamat sekarang. Maka perjuangan boleh diteruskan. “ Gadis itu bersuara lagi.

Tasneem memandang sekilas wajah gadis dihadapannya. Siapa gadis ini? Wajahnya sentiasa nampak tenang.

Yang pasti, gadis dihadapannya ini adalah gadis yang dia kasari semasa di dewan makan tadi. Di wajah gadis ini langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kebenciaan pada dirinya yang kurang ajar tadi.

Misteri.

***

Tasneem meletakkan tangan kanannya diatas jam catur. Menyamaratakan kedudukan punat jam sekaligus mematikan perjalanan jarum jam tersebut. Gadis dihadapannya mengalihkan pandangan dari papan catur. Dua keningnya diangkat, dahinya sedikit berkerut. Isyarat untuk meminta penjelasan daripada Tasneem.

“Cukup setakat ini. Aku resign. “ Tasneem mengambil kertas  rekod perjalanan buah caturnya. Dia menulis keputusan perlawanan dan menandatangan di bahagian peserta putih. Kemudian menyerahkan kertas itu kepada gadis dihadapan. Dia terlupa untuk meminta gadis itu menulis namanya. Sebelum perlawanan tadi dia hanya memandang namanya sekali lalu. Tidak dapat mengingatnya secara baik.

Kertas bertukar tangan. Gadis itu turut menyerah kertas miliknya untuk ditandatangani oleh Tasneem.

“Ummu Aiman.” Tasneem membaca perlahan nama yang tertera pada kertas tersebut. Dia cepat-cepat menandatanganinya dan menyerahkan kembali kepada gadis itu.

“ Tahniah!” Tasneem menghulurkan tangan.

“Kau juga tidak kurang hebat.”Gadis itu kembali memuji. Tasneem hanya tersenyum kelat. Dia menyusun kembali buah catur dihadapannya. Menjadi adat dalam permainan catur, peserta yang kalah perlu menyusun kembali buah catur dan yang menang melaporkan kemenangan.

“Kau buat apa?” Tasneem pelik melihat gadis tersebut turut membantu menyusun  buah catur.

“Susun chess la.” Gadis itu membalas tanpa melihat Tasneem.

“Aku yang kalah. Biarlah aku yang susun. Kau pergi la report result kat arbiter.”

“Tak apa, kalau buat sama-sama lagi cepat selesai.”

“Apa-apa je lah.” Tasneem hanya menunduk. Dia tidak sanggup melihat kea rah tepi dewan, yang disitu terkumpulnya jurulatih dan kawan-kawannya yang lain yang menanti. Mereka tentu hampa dengan kekalahannya. Dia terasa malu dan tebal muka. Gelaran juara yang disandangnya selama ini bakal terkubur begitu sahaja.

Selesai menyusun buah catur, Tasneem cepat-cepat bergerak. Dia perasan pemergiannya itu diekori  oleh Raudhah dan kawannya yang lain. Ahh mereka tentu perasan dia sudah kalah kerana bukan dia yang menghantar keputusan ke meja arbiter. Kenapa perlu dieekori lagi dirinya? Dia rasa ingin lari jauh-jauh.

Tetapi ternyata, pintu keluar dewan terletak berhampiran tempat mereka berdiri tadi. Dia tidak dapat lari daripada bertembung dengan mereka. Tasneem pasrah. Dia cuba menahan air matanya daripada gugur.

“Tasneem, macam mana boleh kalah ni.” Soalan pertama daripada Cikgu Muiz yang setia menyokongnya buat hatinya hampir pecah. Pedih sekali soalan itu.

“Tasneem, kenapa teruk sangat you main tadi?”

“Macam mana dengan budak kampung macam tu pun boleh kalah?”

Soalan bertalu-talu daripada kawan-kawannya menambahkan runsing di dadanya. Dia makin celaru. Tambahan pula peserta lain daripada daerah lain ada yang mula berbisik-bisik mengata tentang dirinya.

“Hah, padan muka. Sombong sangat.”

“Berlagak bagus. Kan dah kalah.”

Bisikan-bisikan itu benar-benar membunuh perasaannya. Dan dia kini rasa benar-benar teruk dan tidak berguna. Sudah mengecewakan semua orang.

“Ya Allah, bantulah aku.” Dan akhirnya kalimah itu keluar juga daripada bibirnya. Fitrah seorang hamba yang serba lemah merayu meminta kekuatan daripada Maha Kuat.

***

“Tahniah Ummu. InshaAllah kemenangan Ummu ini untuk Islam jua.” Nazihah yang satu sekolah dengan Ummu Aiman memeluk sahabatnya itu. Tidak disangka cubaan pertama Ummu Aiman mewakili sekolah akhirnya membuah hasil sehingga sejauh ini.

“Alhamdulillah. Segala kesyukuran itu kita panjatkan kepada Allah.” Ummu Aiman merendah diri. Dia tersenyum.

“ Tahniah Ummu. Cikgu juga turut bangga dengan kamu. Dan kamu juga Nazihah. Kamu bermain agak baik kali ini. “ Cikgu Mumtaz, pengurus pemain Daerah Kuala Kangsar  memuji mereka. Ummu Aiman dan Nazihah hanya tersenyum.

“Kita semua akan bertolak balik ke Kuala Kangsar dalam 5 minit lagi. Harap kamu bersedia di tempat letak kereta sana.” Cikgu Mumtaz menunjuk kea rah tempat letak kereta yang dimaksudkan.

“Err.. cikgu, kalau saya minta masa 15 minit lagi boleh tak cikgu? Saya nak jumpa kawan saya sebentar.” Ummu Aiman bersuara.

“Ok. Kita jumpa 15 minit lagi. Jangan lebih masa pula. Orang lain kena tunggu pula nanti.” Cikgu Mumtaz memperingat. Ummu Aiman hanya mengangguk.

“Naz, ana nak minta Naz tolong bawakan beg ana boleh? Ana ada hal penting ni.” Ummu Aiman memandang sambil tangannya menghulurkan beg miliknya.

“InshaAllah, boleh. Tapi, siapa kawan …. “ Nazihah terhenti di situ apabila melihat Ummu Aiman sudah pun berlari-lari anak ke suatu arah. Dia mengangkat tangannya cuba untuk menghalang tetapi ternyata Ummu Aiman tidak akan berhenti.

“Nanti ana cerita. Doakan ana!” Terdengar suara Ummu Aiman sedikit menjerit. Tangannya diangkat ke atas. Nazihah hanya menggeleng kepala.

“InshaAllah. Anti sentiasa berada dalam doa ana.” Nazihah sedikit berbisik.

Ummu Aiman mempercepatkan langkahnya. Dia pun tidak pasti sama ada arah yang ditujunya betul atau tidak. Hanya bergerak berdasarkan lintas hatinya. Mudah-mudahan lintas hatinya ini tidak tersilap. Sebenatar tadi selepas Majlis Penyampaian Hadiah, dia melihat Tasneem menuju kearah ini. Kearah bukit di belakang bangunan sekolah.

Tekaan Ummu Aiman tidak silap. Di atas bukit itu kelihatan seorang budak perempuan sedang duduk termenung melihat alam. Nafas Ummu Aiman turun naik. Tiba-tiba dia lihat Tasneem bangun dan cuba untuk melemparkan sesuatu ke bawah bukit.

“Jangan buang!” Ummu Aiman separuh menjerit. Jeritannya berjaya membuat Tasneem berhenti daripada perilakunya sebentar lagi. Dia menoleh ke bawa bukit, mencari punca suara dan terlihat akan Ummu Aiman.

“Kau budak? Buat apa kat sini?” Tasneem terkejut melihat kehadiran Ummu Aiman disitu. Panggilan ‘budak’ terhadap Ummu Aiman masih tidak lekang daripada bibirnya kerana merujuk kepada fizikal Ummu Aiman yang agak kecil dan comel seperti budak sekolah rendah.

Ummu Aiman yang masih cuba menstabilkan nafasnya perlahan-lahan melangkah kea rah Tasneem. Tasneem hanya memandang kepada  Ummu Aiman.

“Jangan buang medal tu.” Ummu Aiman akhirnya bersuara setelah nafasnya berjaya distabilkan. Tasneem terkejut dengan saranan.

“Biarlah aku nak buang. Kau sibuk apasal? Medal gangsa ini tidak ada apa-apa erti buat aku. Aku nak emas. Medal emas kau tahu!” Tasneem bersuara lantang. Dia kembali beralih kehadapan bukit dan cuba untuk membaling pingat itu kembali.

“Nah!” Sebuah pingat emas betul-betul berada dihadapan wajah Tasneem sekarang. Tasneem agak terkejut.

“Apa ni?” Tasneem membalas. Dia memandang kea rah Ummu Aiman. Gadis itu hanya tersenyum.

“Untuk kau.” Ummu Aiman membalas ringkas.

“Hnghh..kau perli aku ke? “ Tasneem memandang sinis. Dia duduk kembali. Matanya agak merah. Mungkin terlalu banyak menangis sebelum itu.

“Aku tidak perli. Aku betul-betul nak bagi kau ni.” Ummu Aiman bersungguh-sungguh.

“Sudahlah! Semua manusia sama sahaja. Pentingkan populariti. Bila aku dah jatuh! Semua menjauh! Kau tahu tak sekarang ni aku rasa terpinggir. Cikgu dan kawan-kawan aku semua pandang rendah dan salahkan aku. Sebab aku kalah dengan budak kampung macam kau! “ Tasneem membalas pedas. Ummu Aiman terkesima. Pedih terasa hatinya dihina sebegitu. Tetapi dia menahan dirinya untuk terus bersabar. Akhlak Rasulullah cuba untuk dicontohi. Tiba-tiba dia terdengar esakan.

“Aku rasa manusia semuanya tidak adil. Semuanya hanya pentingkan diri sendiri sahaja. Bila aku jatuh macam ni, aku dibiarkan sendiri. Aku rasa …” Tasneem tersedu-sedu menahan sebak. Dia yang dari tadi duduk dalam posisi lutut diangkat ke paras dada dan tangan dirangkul sekitar lutut itu menundukkan muka ke dalam rangkulan itu.

“..kosong. Aku tidak ada sesiapa.” Air matanya merembes keluar. Ummu Aiman jadi sayu. Dia mengambil tempat disebelah Tasneem. Dia cuba untuk duduk seperti Tasneem tetapi kain sekolah yang dipakainya menghalang untuk dia duduk seperti itu. Lalu dia memilih untuk duduk bersila sahaja.

“Kau silap. Kau tidak keseorangan sebenarnya.” Ummu Aiman bersuara perlahan. Tasneem masih tunduk tapi esakannya mula perlahan. Mungkin ingin mendengar kata-kata Ummu Aiman yang seterusnya.

“Kau masih ada Allah.” Ummu Aiman meneruskan kata-kata. Dia melihat kepada Tasneem,menanti responnya. Tidak berbalas.

“Aku juga masih ada Allah. Kita semua masih ada Allah. Dan akan sentiasa mempunyai Allah.”

“ Walaupun manusia menjauh, tetapi Allah tidak pernah menjauh daripada kita. Hanya kita sahajalah yang mungkin jauh daripadaNya. Jika kita mengadu akan kelemahan kita padaNya, pasti Dia akan mendengar.”

“Kau nak tahu? Kasih sayang Allah tu melebihi kasih sayang seorang ibu sendiri. Jika kau rasa terpinggir, mengadulah padaNya. Manusia tidak akan mampu memberi mudarat kepada kita tanpa kehendakNya.” Ummu Aiman menoleh lagi kepada Tasneem. Tasneem masih tunduk.

“ Betullah apa yang kau kata tu. Manusia kadang-kadang terlalu mengejar populariti dan kekayaan dunia. Tanpa kita sedari kita lupa tujuan kita diciptakan di muka bumi ini yang akhirnya populariti dan kekayaan itu memakan diri kita sendiri jika tidak digunakan kearah kebaikan.”

“Yang penting kita tidak boleh putus asa dalam menghadapi ujian-ujian dalam kehidupan. InshaAllah ganjarannya pasti syurga. Tapi, dalam menghadapi ujian itu kita perlu berhadapan dalam keadaan yang beriman dan sedar. Hubungan kita dengan Allah kena jaga. Kita ini akhirnya akan kembali kepada Allah juga.” Ummu Aiman berhenti disitu. Dialihkan pandangannya ke Tasneem buat kali yang ketiga. Masih tidak berganjak. Dia kemudian mengerling jam tangan di lengan kirinya. Ah hampir tamat tempoh 15 minit yang dijanjikan.

“Aduhh.. minta maaf aku ni macam membebel aje dengan kau.” Ummu Aiman mengeluarkan sebuah buku nota kecil dari kocek bajunya dan sebuah pen. Dia mengoyak satu helaian daripada buku itu dan mencoret sesuatu. Dia meletakkan pingat emas miliknya di tanah kemudian kemudian menyisip kertas itu dibawah pingat tersebut. Dia bangun.

“Minta maaf. Aku kena pergi dulu.Cuma, aku nak kau tahu, kita akan sentiasa ada Allah disisi. Di mana kita meletakkan Allah dihati kita, maka  begitulah juga kedudukan kita disisi Allah.” Ummu Aiman lantas mengatur langkah meninggalkan Tasneem keseorangan.

“Hei budak.. tunggu sekejap.” Tasneem kini berani mengangkat mukanya dan berpaling ke belakang kea rah Ummu Aiman. Ummu Aiman berpaling. Dia senyum lagi. Tasneem benci melihat senyumannya. Senyuman gadis itu seakan-akan ingin mengejek keadaan dirinya kini.

“Ya?” Ummu Aiman bersuara.

“Kenapa kau tolong aku. Aku kan musuh kau.” Tasneem memohon kepastian.

“Betul kau nak tahu?” Ummu Aiman menguji. Tasneem mengangguk. Ummu Aiman melangkah kembali ke arah Tasneem. Dia menundukkan badannya sedikit, sama aras dengan Tasneem yang sedang duduk di anak tangga.

“Sebab..” Dia mula berbicara.

“Nahnu dua’at qabla kul la sha’in.” Dia tersenyum  sebaik malafazkan kata-kata itu. Lalu terus bangun dan meninggalkan Tasnem yang tiba-tiba membatu.

Tasneem terdiam. Kata-kata itu sangat menyentuh hatinya. Terasa bagai ada satu perasaan aneh menyelinap ke dalam hati. Tidak semena-mena, air matanya gugur.

***

“Ini nombor telefon dan email aku. Medal emas ini aku hadiahkan kepada kau, sebab kau lebih layak untuk memiliki medal ini.

p/s Kalau kau sudi terima aku sebagai kawan, inshaAllah aku akan setia menjadi kawan kau. “

“ Entah apa-apa la. Macam ayat basi orang lelaki nak mengurat perempuan. Tinggalkan nombor telefon. Tidak tahu malu betul.” Tasneem bersuara.

“Hahaha. Stylo apa? Mengurat kawan perempuan untuk berukhwah tak  apa. Halal di sisi syariat” Terdengar suara ketawa disebalik corong telefon. Tasneem turut terhibur mendengar suaranya. Sudah lama tidak mendengar suara sahabatnya itu.

“ Yela, yela. Hah ni bila nak balik Malaysia ni? Orang dekat sini dah rindu sangat dengan orang di sana.”

“Ala, angah tak puas lagi la duduk dekat Ireland ni. Nak explore banyak-banyak lagi.” Ummu Aiman disebalik corong telefon bersuara.

“Ye la tu. Ke dah sangkut dengan Mat Saleh kat sana?” Tasneem membalas sinis. Di tangannya ada sebuah pingat emas pemberian Ummu Aiman kira-kira 5 tahun yang lalu. Dia membelek-beleknya. Helaian kertas yang ditinggalkan Ummu Aiman juga masih disimpannya.

“Hahaha. Mat Saleh buat apa? Lainlah kalau yang soleh. ” Ummu Aiman bercanda.

Terdengar suara ketawa dari kedua-dua belah pihak.

“Angah…” Suara Ummu Aiman terhenti apabila mendengar  Tasneem bersuara.

“Ya?”

“Uhubbikfillah.”

“Ana uhubikfillah ya ukhti!” Ummu Aiman membalas.

“Along kena minta diri dulu. Kredit nak dekat habis dah ni.Jaga diri ye di sana?”

“InshaAllah. Terima kasih Along sebab call Angah. Kirim salam pada Alang yer?”

“InshaAllah. Assalamualaikum.”

Click.

Assalamualaikum. Alang, inshaAllah along sedia untuk jadi trainer di sekolah Alang.

Sent

 

Beep.. beep..

1 message received

Read now?

Waalaikumsalam. Alhamdulillah!!!! Thanks Along😀

Tasneem tersenyum. Ummu Aiman. Sebuah nama yang ternyata telah membawa perubahan besar pada dirinya dan Raudhah. Tasneem merasa sudah tiba masanya untuk dia pula membawa perubahan besar kepada orang lain. Membawa manusia kembali kepada Allah, tidak kira melalui saluran apa pun asalkan ia tidak berlawanan dengan syariat.

Setiap daripada orang mukmin adalah salah satu penjuru dari penjuru-penjuru Islam, maka tugas kitalah untuk menjaga penjuru kita supaya tidak diceroboh musuh.

Dan saluran, penjuru serta kebolehan yang dia ada sekarang adalah…

Chess.

*TAMAT*

2 Responses to “Cerpen : CHESS”

  1. Syamilsynz February 17, 2012 at 6:14 pm #

    Bagus2…cerpen yg menyentuh hati..

    • mukminahmujahidah February 19, 2012 at 8:39 pm #

      Moga ada manfaatnya🙂

Ingin berkongsi? Luahkan.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: