Cerpen : Shinka Engkau Amanahku (Akhir)

26 May

Hari ini hari Sabtu. Hari cuti bagi semua orang. Maisarah dan Khadijah juga tidak mempunyai kokurikulum pada hari ini. Petang-petang hari cuti begini Anis selalu luangkan masa dibiliknya untuk menambah ilmu. Dia sedang sibuk membaca buku berwarna hijau berjudul Profil Murabbi Ideal, hadiah daripada Sara. Sara kata, buku ini bagus untuk bekalan para daie. Anis baru sahaja mula membacanya dua hari lepas.

“Kak Long, nampak Shinka tak?” Asyraf yang tiba-tiba muncul di muka pintu bilik Anis bersuara.

“Taka da pulak. Kak Long duduk dalam bilik sejak lepas Asar tadi.”

“Ishh, mana pula dia pergi ni. Sejak pagi tadi tak nampak batang hidung dia.” Tampak kegusaran dihati Asyraf.

“Cuba tengok kat luar rumah, ada ke?” Anis cuba memberi solusi.

“Orang dah tengok dah sekeliling rumah. Tak jumpa juga. Dah tanya Maisarah dan adik juga, diorang pun tak nampak Shinka.”

“Shinka keluar jalan-jalan la tu. Tunggulah  malam nanti dia balik la tu.” Anis cuba menenangkan Asyraf.

“Hurm, harap-harap macam tu la. Selalunya kalau dia keluar pagi-pagi pun, waktu macam ni dia dah balik.Oklah, terima kasih Kak Long.” Asyraf membalas ringkas, kemudian berlalu meninggalkan Anis sendiri.

Tiba-tiba Anis merasa risau. Shinka merajuk dengannya ke? Rasa bersalah mula menyelinap ke hatinya. Dia tidak dapat nafikan, Shinka jarang keluar rumah terlalu lama seperti hari ini. Tetapi disanggah jauh-jauh rasa itu. Ahh, dah lapar nanti dia balik la.

Anis menyambung pembacaannya.

Lembut itu ciri yang harus dimiliki dai dan peringkat tertentu yang tidak dapat diraih kecuali oleh yang menerapkannya di semua kondisinya.

Buku ini dalam terjemahan Indonesia. Walau bagaimanapun, buku ini agak mudah untuk Anis memahaminya memandangkan penulis menggunakan bahasa yang agak mudah. Dia kini berada di bab mengenai kelembutan. Ada beberapa ciri yang perlu ada pada seorang daie atau pendidik itu dan salah satunya adalah kelembutan. Itulah yang Anis dapat setakat ini. Dia kemudian menyambung lagi.

Adalah tidak masuk akal dai bersikap lembut ketika berinteraksi dengan mad’u (obyek dakwah), tapi ia masih bersikap keras terhadap hewan, tanaman dan benda padat.

“Astaghfirullah al azim.” Anis beistifghfar panjang. Terasa Allah benar-benar ingin mentarbiyah dirinya. Baru sahaja semalam dia bersikap kasar tehadap Shinka dan petang ini Allah ingatkan dia melalui tulisan didalam buku ini tentang urgensi bersikap lembut terhadap makluk-makhlukNya yang lain.

Air mata Anis gugur. Dia menyesali akan kondisi sikap dan hatinya. Selama ini dia begitu lembut dengan orang lain dan adik-adiknya. Malah semalam dia turut menasihati adiknya Khadijah untuk berlembut terhadap rakan-rakan Khadijah. Turut mengemukakan ayat Al-Quran lagi terkait suruhan Allah ini. Tetapi dia? Dia tidak lembut dengan Shinka. Sedangkan Shinka juga makhluk Allah. Seakan-akan ada bias pula, memilih kasih antara makhlukNya.

Anis tahu tak, sebab apa Sara suka kucing?

Erm, tak tahu. Sebab dia comel dan manja kot?

Erm itu salah satunya. Tetapi ada lagi sebab yang lebih besar.

Apa dia?

Sebab Sara nampak kebesaran Allah melalui kucing.

Hah? Macam mana tu?

Sebab bila Sara tengok kucing ni, Sara selalu fikir macam mana Allah cipta kucing ini jinak dan setia pada tuannya. Sedangkan dia tidak mempunyai akal pun. Berbeza dengan manusia, ada akal pun kadang-kadang selalu tidak setia denganTuannya, iaitu Allah. Allah bagi rezeki, kadang-kadang manusia lari jauh dari Allah, sombong dengan rezeki yang ada. Dan kelembutan kucing itu buat manusia jatuh cinta dengan mereka.  Sara nak jadi macam kucing. Buat manusia jatuh cinta dengan kita supaya mudah untuk kita menerangkan mereka tentang Allah dan betapa Allah tu sangat hebat. Tetapi untuk buat manusia jatuh cinta kita, tentulah kita kena jatuh cinta dengan Allah dulu kan? Barulah manusia lain akan sayang kita.

Betullah apa Sara cakap tu. Anis tidak pernah terfikir sampai macam tu.

Lagi satu kan Anis, bila kita berbuat baik kepada kucing ni, Allah akan campakkan rasa sayang pada kucing tu pada kita tau. Orang yang sayangkan Allah, seluruh makhluk akan menyayangi dia.

Tangisan Anis makin menjadi apabila teringat akan perkongsian Sara semasa mereka dalam perjalanan ke tempat parkir motosikal di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz petang semalam. Peringatan dari Allah sudah diterima lama tetapi hatinya sahaja yang tidak terbuka. Anis cepat-cepat bangun. Dia mengesat air matanya. Dia kemudian mencari-cari Shinka didalam rumah. Ingin dia memeluk makhluk Allah itu dan memohon maaf kepadanya. Ternyata Shinka memang tiada di rumah. Dia kemudian ke bilik Asyraf, ingin mencari adiknya itu.

“Asyraf, Shinka dah balik ke?” Asyraf yang sedang sibuk mengemas-ngemas barang-barang yang hendak dibawa pulang ke hostelnya itu menoleh kepada Anis. Esok pagi dia akan kembali semua memulakan pengajiannya di Universiti untuk semester baru.

“Kalau Shinka balik, beritahu Kak Long ye.” Asyraf mengangkat keningnya tidak percaya. Tetapi akhirnya hanya menganggukkan kepala.

Hari berlalu dengan pantasnya. Pagi Ahad muncul pula. Pagi ini Asyraf akan kembali ke Universitinya. Shinka pula tidak pulang sejak pagi semalam. Asyraf hanya mampu memberi pesan kepada Anis untuk memaklumkan kepadanya jika Shinka pulang. Anis hanya mengiyakan. Lusa, dia pula yang akan pulang ke universitinya. Dia pulang lewat sedikit kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Surat penangguhan tarikh pulang telah diserahkan lebih awal kepada dekan fakulti sebelum cuti semester bermula lagi. Ada dua hari lagi. Sempatkah dia bertemu Shinka dan memohon maaf kepadanya?

Masa ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu. Begitulah pepatah arab berkenaan dengan masa. Kini tiba pula malam terakhir Anis berada di Ipoh. Esok pagi dia akan pulang ke kampusnya.

Satu berita yang agak menyedihkan, Shinka masih belum pulang lagi. Sudah tiga hari berturut-turut.  Setiap kali selepas solat, Anis akan berdoa kepada Allah supaya Allah mengizinkan untuk dia bertemu dengan Shinka sebelum dia balik. Terasa besar dosanya pada Shinka. Dia jadi takut teringat kisah wanita yang masuk neraka kerana berbuat zalim kepada seekor kucing. Dalam sujudnya, dia bersungguh-sungguh berdoa supaya Shinka pulang segera didalam keadaan yang baik-baik sahaja. Apa yang dirisaukan adalah takut-takut Shinka mati dilanggar atau diambil orang.

Setiap petang, Anis sememangnya akan meronda-ronda sekitar kawasan rumah untuk mencari Shinka. Tetapi apakan daya, Shinka itu pun bukanlah besar sangat yang ketara nampaknya. Jika menyorok di dalam semak, hutan atau rumah orang lain, tentulah Anis tidak akan menjumpainya.

Mesej daripada Asyraf petang tadi juga tidak sanggup dibalasnya. Dia sebak. Tidak mampun dia memberitahu adiknya itu bahawa Shinka masih belum pulang. Malam ini dia solat hajat lagi untuk Shinka. Kali ini sujudnya lebih lama, berdoa dengan kesungguhan.

“Ya Allah, aku ini telah berbuat zalim kepada makhlukMu. Ampunkanlah dosa-dosaku. Ya Allah, temukanlah kami kembali dengan Shinka, berilah dia dapat pulang semula ke rumah ini. Aku rindu dia Ya Allah. Aku janji tidak akan berlaku kasar terhadapnya. Kasihanilah aku Ya Allah. Jagalah dia dan temukanlah kami. Ameen.”

***

“Sudahlah tu Anis. Tak elok menung jauh-jauh macam ni. Shinka tu taka da apa-apa la. Nanti esok lusa dia balik la tu. “ Ibu Anis cuba untuk mententeramkan Anis. Anis hanya tersenyum kelat. Sekejap lagi dia akan ke bandar untuk menaiki bas pulang ke kampusnya. Dia sekarang sedang menunggu ayahnya pulang dari menjemput Khadijah dari sekolahnya. Kemudian ayahnya akan menghantar dia dengan motosikal. Sehingga saat ini, Shinka masih belum pulang. Hati Anis memang benar-benar galau. Dia terasa bagai tiada harapan untuk berjumpa dengan Shinka.

“Kalau Shinka mati, tentu masuk syurga. Aku ini belum tentu masuk syurga lagi. Berlagak macam bagus aje.” Anis tidak sudah-sudah menyalahkan dirinya. Dia terkenangkan kenangan Shinka dengan Asyraf. Mesra bagaikan pasangan suami isteri sahaja. Asyraf akan melayaninya baik-baik. Tetapi dia? Ahh kenapa kau kasar sangat Anis?

Tiba-tiba terdengar bunyi hon motosikal. Dia tahu itu bapanya dan Khadijah yang sudah pulang. Bunyi enjin motosikal itu kedengaran lambat-lambat sekali. Seakan-akan ayahnnya bawa agak perlahan. Anis tidak menghiraukan kehadiran ayahnya dan Khadijah. Dia tahu, kepulangan mereka menandakan dia sudah tidak ada masa dan harapan lagi untuk bertemu Shinka. Hatinya rasa terguris sangat saat ini.

“Kak Long! Kak Long” . Khadijah yang membonceng motosikal menjerit-jerit namanya dari jauh lagi. Anis menoleh kepada mereka dan dia bangun. Khadijah melambai-lamabai tangan dari belakang ayahnya. Mukanya nampak ceria. Ayah mereka juga tersenyum.

Anis bangun. Dia hairan dengan tingkah laku Khadijah. Semakin mereka hampir barulah Anis perasaan ada satu objek bergerak sedang mengikuti mereka perlahan-lahan.

“Kak Long! Shinka!” Khadijah menunjuk kea rah objek tersebut. Anis membesarkan matanya. Ternyata objek bergerak itu adalah Shinka. Kelihatan Shinka berlari perlahan-lahan mengejar motosikal yang ditunggang mereka. Anis bagai tidak percaya. Dia cepat-cepat berlari mendapatkan Shinka. Dia mendukungnya dan mengucupkan syukur pada Allah. Pipi Anis basah dengan linangan air mata. Dia tidak takut lagi memegang Shinka. Shinka membuat bunyi.

“Adik jumpa dia dekat kedai hujung tu. Tuan kedai hujung tu kata, dia tak tahu siapa punya kucing jadi dia biarkan sahaja. Tadi bila kami pergi kedai tu nampak Shinka dan Shinka kenal kami. Shinka pun ikut kami sampai la kat rumah.” Bersungguh-sungguh Khadijah menerangkan kepada kakaknya. Anis hanya mampu mengucapkan syukur kepada Allah. Kali ini dia benar-benar rasa sayang dengan Shinka.

Shinka, dia seekor kucing. Seekor makhluk Allah. Apabila Anis telah membuat keputusan untuk membelanya, maka menjadi kewajipan untuk dia menjaganya, memberi makan padanya dan meraikannya. Kerana hakikatnya Shinka juga adalah amanah Allah buatnya. Pengabaian amanah tentu sahaja akan membuatkan dia disoal oleh Allah di akhirat kelak.

Shinka, engkau amanahku. Maka pada hari ini, saksikanlah aku akan berlaku lembut padamu.

***TAMAT***

Ingin berkongsi? Luahkan.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: