Cerpen : Shinka Engkau Amanahku (Part 3)

23 May

Senyum🙂

Hujan turun kembali. Kali ini ia agak lebat. Bunyi hujan yang menimpa atap zink rumah mereka agak bising. Sekali sekala dentuman guruh kedengaran. Kadang-kadang ia mengejutkan Shinka yang sedang nyenyak tidur di ruang tamu. Maisarah dan Khadijah pula sedang sibuk menyudahkan kerja sekolah yang diberikan guru mereka. Mereka juga berada di ruang tamu, duduk berdepan satu sama lain di meja rendah ala-ala meja jepun. Asyraf pula ketika ini berada didalam biliknya.

Anis baru sahaja selesai menyediakan makanan malam untuk keluarganya. Ikan goreng, sayur kangkung masak belacan, sambal ikan bilis dan nasi putih. Ringkas sahaja juadah mereka pada malam itu. Dia menghidangkan semua juadah di atas meja makan di dapur. Selepas Isyak nanti, baru mereka sekeluarga akan makan bersama-sama.

Anis kemudian masuk ke biliknya, ingin membaca sedikit ayat-ayat cinta daripada Al-Quran sementara menunggu masuknya Isyak. Dia membuka naskah itu dan mencari-cari halaman yang ditandanya sebelum itu. Anis mula membaca perlahan-perlahan. Dia cuba menghayati setiap ayat yang dibaca.

“Kak Long.”  Anis tidak menoleh. Khadijah yang berada di muka pintu mengetuk pintu yang sedia terbuka. Tetapi ternyata bunyi itu tenggelam dalam kebisingan bunyi hujan yang menimpa atap mereka. Melihat kakaknya tidak merespon, dia terus masuk dan duduk disebelah Anis.

Anis yang baru menyedari kehadiran Khadijah memberhentikan bacaannya dan menoleh kepada Khadijah. Dia tersenyum melihat adik bongsunya itu.

“Kak Long, adik nak tanya sedikit boleh ke?” Anis hanya menggangguk. Dia menutup mushaf Quran dan meletakkannya di atas katil yang berada disebelahnya.

“Nak tanya apa adik?”

“Sampai bila adik kena sabar dengan kawan-kawan adik? Kali ini diorang burukkan adik depan kawan sekelas yang lain. Adik tidak buat apa-apa pun.”

“Macam mana tu?” Anis memohon kepastian.

“ Kawan rapat adik beritahu, yang diorang kata adik ni suka bodek cikgu, sebab tu selalu dapat markah banyak. Dan orang lain pun mudah percaya pulak. Kawan-kawan lain pun sekarang macam perli. Diorang akan kata bolehlah ija tu dapat markah banyak, kaki bodek cikgu.” Muka Khadijah masam mencuka. Marah benar dia.

Anis hanya mengangguk-angguk mendengar penjelasan adiknya. Sebelum ini Khadijah pernah meluahkan masalah berkenaan beberapa pelajar sekelasnya yang selalu mencari pasal dengannya kerana tidak puas hati dengan keputusan peperiksaan Khadijah yang tiba-tiba melonjak naik dan membolehkan dia mendapat tempat pertama di dalam kelas. Sejak daripada itu, Khadijah menjadi perhatian beberapa gurunya kerana merasakan Khadijah ada potensi untuk mengharumkan nama sekolah apabila melihat kesungguhan Khadijah. Rakan-rakannya yang sebelum ini menyerlah tetapi dikalahkan dengan kejayaan Khadijah pada peperiksaan yang lepas membuatkan mereka cemburu dan dengki. Lantas mereka menyisih diri daripada Khadijah.

Dan kali ini, mereka bertindak lebih lagi dengan memburukkan Khadijah di hadapan orang lain. Anis kasihan melihat adiknya. Sudahlah tahun ini dia bakal menduduki PMR, ditekan pula dengan masalah dengan rakan-rakannya. Sudah tentu ia sangat mengganggu emosinya.

“Adik, akak tidak ada cara lain melainkan terus suruh adik sabar.” Anis menjawap ringkas.

“Tetapi sampai bila kak? Adik dah habis sabar ni.” Khadijah tidak puas hati. Terbayang satu-satu wajah teman yang sering mencari masalah dengannya. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia menyumpah saranah mereka, tetapi ayah dan ibunya selalu berpesan supaya tidak bercakap kasar dengan orang lain.

“Sabar sampai mati. Sabar tidak ada limit adik. Ingat lagi kisah Rasulullah SAW yang Kak Long cerita dulu?” Anis tersenyum. Dia merenung ke anak mata Khadijah. Khadijah hanya mengangguk. Raut wajahnya masih mencuka.

“Kisah Rasulullah yang memberi makan kepada seorang perempuan kafir yang tua. Perempuan tu setiap hari bila Rasulullah lalu depan rumah dia, dia akan lontarkan sampai pada Rasulullah. Tetapi Rasulullah sabar aje. Sampai la suatu hari tu bila Rasulullah lalu kat depan rumah perempuan tu, Rasulullah tidak dibaling oleh sampah. Tahu tak apa Rasulullah SAW buat lepas tu?” Anis cuba menarik perhatian Khadijah. Dia bertanya soalan kepada Khadijah dengan harapan Khadijah dapat mengingat kembali sirah tersebut.

“Tahu. Rasulullah tanya orang ramai, perempuan tu pergi mana. Lepas tu orang ramai cakap yang perempuan tu sakit. Kemudian Rasulullah pergi ziarah dia dan suap dia makan. Sampaikan bila Rasulullah wafat, sahabat Rasulullah yang lain datang menyuap. Tetapi sebab tidak sama, dia tanya mana orang yang selalu suap dia selama ini, dan akhirnya dia tahu bahawa yang menyuapnya selama ini adalah Rasulullah. Dia insaf dan terharu dengan kebaikan Rasulullah dan akhirnya memeluk Islam,” Sirah yang menyentuh hati itu diterangkan Khadijah seringkas mungkin. Anis hanya tersenyum tanda setuju dengan jawapan adiknya.

“Tetapi Kak Long, itu Rasulullah. Tetapi adik ni tak hebat macam Rasulullah.” Khadijah masih tidak puas hati.

“Memanglah. Tetapi kan kita tengah cuba untuk ikut akhlak Rasulullah. Hah tau tak. Allah ada sebut dalam Al-Quran tentang masalah adik ni.”

“Hah, biar betul Kak Long ni. Tak akan la Allah sebut masalah adik dalam Quran.”

“Ada. Nanti akak tunjuk kejap.” Anis mengambil Al-Qurannya di atas katil dan mula menyelak-nyelak mencari ayat yang berkenaan. Tidak terlalu sukar bagi Anis mencarinya kerana selalunya dia akan menanda ayat-ayat yang menyentuh hatinya ketika pembacaan. Dan ayat-ayat itu akan menjadi rujukannya apabila ingin berkongsi dengan orang lain dan untuk pemahaman dirinya sendiri.

“Hah ni dia. Cuba adik baca maksudnya.” Anis memberika mushaf Al-Quran itu kepada Khadijah. Khadijah mula membaca maksud daripada surah Fussilat ayat 34.

“Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah yakni kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang ada rasa permusuhan antara kamu dan dia akan seperti teman yang setia.” Khadijah berhenti disitu. Tidak semena-mena air matanya gugur. Khadijah memang seorang yang sangat halus jiwanya. Kerana itu Anis suka untuk mendekatkan Al-Quran kepada adiknya itu.

“Terima kasih Kak Long. Adik dah faham sekarang.” Khadijah memeluk kakaknya. Anis membalas pelukan itu.

“Jangan sedih ye adik. InshaAllah, Allah sentiasa ada. Kita terus buat baik, nanti dengan izin Allah mereka akan jadi kawan kita balik.” Anis menepuk-nepuk perlahan belakang adiknya semasa dalam pelukan. Memang fitrah manusia itu akan sukakan kebaikan. Sedangkan apabila menerima sedikit kebaikan pun manusia akan berterima kasih, apatah lagi jika mendapat kebaikan diatas kejahatan yang dilakukan. Tentulah hatinya akan tersentuh dengan izin Allah dan akan menjadi akrab dengan kita.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar.”

Azan Isyak berkumandang. Khadijah meleraikan pelukannya. Anis mengajak Khadijah untuk solat berjemaah bersama. Tidak sempat berbuat demikian, kedengaran suara ayah mengajak seisi rumah solat bersama-sama. Ayah tidak jadi ke masjid kerana hujan yang sangat lebat di luar. Jadi mereka semua akan solat berjemaah bersama-sama ayah di rumah sahaja. Anis dan Khadijah pun bangun.Anis mengatur langkah ke ruang tamu manakala Khadijah ke bilik air ingin mengambil wuduk. Ayah dan ibu mereka, serta Asyraf dan Maisarah telah berada di ruang tamu. Shinka juga sudah terjaga.

Selesai menunaikan solat Isyak dan menyalami ahli keluarganya, Anis bangun menanggalkan telekungnya dan bergerak ke biliknya untuk menyimpan telekungnya. Kemudian dia bergerak ke dapur untuk menjerang air panas. Setibanya didapur dia terkejut melihat Shinka berada diatas meja makan, sedang sibuk menjamah ikan goreng.

“Shinka!” Si kucing yang terkejut dengan sergahan Anis itu kelam kabut melompat untuk turun. Semasa lompatannya, kakinya terkena pinggan di tepi meja dan membuatkan ia jatuh dan pecah seribu.

“Shinka. Apa Shinka buat ni? Ish!” Anis marah-marah. Dia memang tidak suka kucing. Apatah lagi kalau kucing itu cuba mencuri-curi makan.

“Apsal ni Kak Long?” Asyraf muncul didapur sejurus selepas mendengar nama kesayangannya disebut-sebut. Dia lantas bergerak kea rah Shinka dan mendukungnya. Tangannya diusap-usap ke kepala Shinka.

“Janganlah marah dia. Kesian dia.” Asyraf cuba untuk mempertahankan kucingnya.

“Akak bukan marah. Cuma Shinka tu, curi makan pula. Baru je sebelum Maghrib tadi bagi dia makan makanan yang akak beli petang tadi. Ni nak makan lagi. Geram la. Habis pinggan pula dia pecahkan. Ni ikan ni dah berterabur, macam mana nak makan. Semua dah kena air liur dia dah ni.” Anis menunjuk kearah ikan goreng yang terkeluar dari pinggannya.

“Ala bukan najis pun. Masih boleh makan. Dahla Shinka. Jom kita pergi depan tinggalkan Monster ni.” Asyraf kemudian berlalu ke ruang tamu. Tangannya tidak sudah-sudah membelai kepala Shinka.

“Dia panggil aku Monsterrrr?” Anis membesarkan matanya tidak percaya. Geram dengan karenah Asyraf yang acuh tidak acuh.

“Apa bising-bising ni Anis? Sudahlah tu, tak baik bergaduh depan rezeki ni.” Ibu Anis yang baru muncul didapur cuba untuk menenangkan Anis. Anis akur. Ibunya tunduk, cuba untuk membersihkan pinggan yang pecah tetapi dihalang oleh Anis. Dia cepat-cepat mengambil alih tugasan itu. Walaupun Anis masih marah dengan Shinka, dan merasakan Asyraf yang patut bertanggungjawab membersihkan sisa pinggan ini, dia jadi tidak sanggup apabila melihat ibunya pula yang terpaksa membersihkan. Terpaksalah dia membersihkannya juga.

Selesai makan malam, Anis membantu ibunya untuk mengemas. Kemudian dia ke ruang tamu. Asyraf dan Shinka tidak kelihatan disitu. Dia mencari-cari pula didalam bilik Asyraf tetapi dia tiada juga. Kemudian dia ke luar rumah. Asyraf sedang duduk-duduk di pangkin dibawah pokok dan Shinka berada diatas ribanya. Rasa menyesal mula muncul dihati Anis . Merajukkah Asyraf? Dia kemudian ke bilik, mengenakan tudungnya dan memakai sweater untuk menutup auratnya. Kemudian dia bergerak ke luar rumah untuk mengetahui keadaan Asyraf.

“Asyraf, ibu panggil makan.” Lembut suara Anis berbicara, tidak seperti suaranya pada waktu makan malam tadi.

“Takpe la. Orang tak lapar pun. Bahagian orang, orang bagi Shinka makan tadi.”

Anis terharu dengan jawapan Asyraf. Dia kemudian mengambil tempat disebelah Asyraf. Jari Asyraf ligat bermain-main dengan Shinka. Shinka pula cuba untuk menangkap jari Asyraf yang digerak-gerakkan.

“Asyraf, akak nak minta maaf.” Anis akhirnya merendah diri. Walaupun Asyraf adalah adiknya, dia tidak malu untuk meminta maaf daripadanya. Baginya, umur yang lebih tua tidak patut menjadi penghalang untuk seseorang meminta maaf kepada orang yang lebih muda apabila telah melakukan kesilapan. Ini tidak akan langsung menjejaskan reputasi orang tersebut malah akan menambahkan rasa hormat daripada orang yang dimohon kemaafan.

“Ala. Relax la. Orang tak marah apa pun. Kak Long tak buat salah apa-apa kat Asyraf.” Asyraf menoleh kea rah Anis. Dia tersenyum kemudian menyambung,

“Tetapi tak tahulah Shinka…” Asyraf kemudian memandang Shinka.

Jawapan Asyraf benar-benar buat Anis tersentak. Dia istighfar didalam hati. Sebak, tetapi cuba ditahan supaya tiada air mata yang gugur dihadapan Asyraf.

“Akak ada simpankan separuh ikan bahagian akak untuk Asyraf. Nanti Asyraf makan ye.” Anis cuba untuk menenangkan hatinya. Dia sayang akan adiik-adiknya, walau nakal macam mana pun, seboleh mampu dia akan cuba untuk menyayangi mereka.

“Hah bagus! Boleh bagi Shinka.” Tidak semena-mena Asyraf bangun dan berlari meninggalkan Anis. Dibawanya Shinka bersama-sama masuk ke dalam rumah.

Anis hanya terdiam. Air matanya gugur jua. Manusia apa yang dia lihat dihadapannya kini? Sangat kasih kepada makhlukNya yang lain, sedangkan Asyraf tidak pernah mendapat tarbiyah seperti dirinya. Dia sendiri yang melalui proses tarbiyah, tidak sehalus itu perasaan terhadap Shinka.

“Ya Allah, ampunkan aku.”

bersambung….

Ingin berkongsi? Luahkan.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: