CERPEN : Kerana Engkau Adalah Ayah

16 Mar

Ayah: Redha Allah dalam redhamu

Kerana Engkau Adalah Ayah

__________________________________________________________________________________________________

“ Baru balik Im?” Langkahnya terhenti. Dia menoleh ke arah empunya suara.

“Oh ayah. Tak tidur lagi ke?” Ikramah menghampiri ayahnya. Disalami tangan ayahnya. Jarang sekali ayahnya untuk berada di rumah hujung-hujung minggu ini. Selalunya akan sibuk dengan projek-projek peniagaannya di kota Shah Alam ini.

“Ayah tunggu kamu. Ibu kata kamu ada program agama 3 hari di KL. Betul ke?”Ikramah mengangguk. Mengiyakan kata-kata ayahnya. Dia malas mahu bercerita panjang.  Dia kemudian mengambil tempat di sebelah ayahnya.

“Ayah dah makan?” Dia melepaskan beg yang disandangnya. Diletakkan di sebelahnya.

“Sudah. Im, ayah ada hal penting nak dibincangkan dengan kamu ni.”

“Apa dia ayah?” Ikramah bersedia mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut ayahnya.

“Im dah ada jawapan untuk tawaran ayah tempoh hari? Kalau Im setuju, Isnin ni dah boleh mula kerja.” Encik Zakwan, ayah kepada Ikramah menawarkan Ikramah untuk bekerja dengannya sebagai akauntan di pejabatnya. Ikramah baru sahaja selesai pengajiannya di dalam jurusan Matematik. Akaun adalah salah satu modul yang pernah diambilnya ketika tahun ketiga pengajian.

“Im tak fikir lagi la ayah. Bagi Im sedikit masa lagi boleh ke?” Ikramah membalas ringkas. Encik Zakwan hanya tersenyum kelat.

“Ok InshaAllah. Tetapi jangan fikir-fikir lama sangat. Ayah sangat harap Im dapat bantu untuk bangunkan perniagaan ayah ni. Ayah nak gajikan orang lain, ayah tak mampu lagi. Siapa lagi ayah nak harapkan melainkan anak ayah sendiri.” Encik Zakwan menaruh harapan. Ikramah adalah pelajar lulusan luar negara. Encik Zakwan berfikir dengan kelulusan dan pengaruh yang ada pada Ikramah akan membantu untuk membangunkan perniagaannya.

“Im naik dulu ayah.” Ayahnya hanya tersenyum. Im menyalami ayahnya, mengambil beg sandang di atas sofa dan naik ke tingkat atas menuju bilik tidurnya.

Ikramah menjatuhkan tubuhnya diatas katil. Kedua-dua tangannya disilang kebelakang kepala. Dia merenung siling bilik tidurnya.

“Huh..selfish! Gunakan seniority.” Satu keluhan berat dilepaskan.

***

“Bro, aku dengar kau dapat tawaran sambung Master. Betul ke?” Abu Ubaidah, teman sekolah Ikramah menyapa. Mereka baru selesai berjoging di taman berhampiran kediaman Abu Ubaidah.

Kind of. Cepat betul khabar angin tersebar. Kau tahu daripada mana ni?” Ringkas Ikramah membalas.

“Wah! Mabruk! Kat mana?” Abu Ubaidah teruja. Soalan Ikramah dibiarkan sepi.

“USM. Tahu daripada ni?” Ikramah  mengulang kembali pertanyaannya.

“Biasalah. Berita baik memang cepat tersebar. So bila start?” Abu Ubaidah mengubah posisi duduknya. Dia memusing tubuhnya menghadap Ikramah.

“ Sepatutnya Julai ni. Tapi tak tahulah ayah aku.” Ikramah berkata perlahan. Pandangannya dilepaskan ke hadapan. Memandang keadaan taman yang aman.

“Dia nak kau kerja dengan dia lagi?” Ikramah hanya mengangguk.

“Aku rasa baik kau bincang betul-betul dengan ayah kau. Peluang untuk sambung Master ni bukan datang selalu.” Abu Ubaidah memberi cadangan.

“Entahla. Kau tak kenal ayah aku. He is so selfish. Semuanya nak kena ikut cakap dia”  Ikramah meluahkan rasa.

“Bro.” Abu Ubaidah menepuk bahu Ikramah perlahan. Dia menoleh kepada Abu Ubaidah. Mengangkat keningnya tanda bersedia menerima ucapan selanjutnya.

“Jangan sampai kau beria mengajak manusia kepada Islam, tetapi kau tidak settle masalah kau dengan ayah kau.” Abu Ubaidah tersenyum.

“InshaAllah.” Ikramah tersenyum kelat. Ayahnya memang satu ujian yang amat berat padanya.

***

Hampir seminggu masa berlalu sejak pertemuan Ikramah dengan ayahnya. Selepas itu Ikramah sudah jarang terserempak dengan ayahnya. Apabila di pagi hari, ayahnya telah terlebih dahulu pergi ke tempat kerja. Malam pula ayahnya pulang agak lewat. Ketika itu Ikramah dan adik-adiknya telah pun masuk tidur.

Pagi Sabtu tiba lagi. Mus’ab, adik bongsunya sedang leka menonton cerita  kartun di televisyen. Nusayba dan Rumaysa, adik perempuannya awal-awal pagi telah pergi ke sekolah menghadiri aktiviti kokurikulum. Ikramah menuju ke meja makan. Tersedia nasi goreng masakan ibunya.

“Adik, ibu mana?” Ikramah menegur Mus’ab yang sedang leka diruang tamu.

“Ibu pergi pasar.” Mus’ab menjawap tanpa menoleh. Ikramah berjalan kedapur. Tiba-tiba dia tersepak sesuatu. Sebuah kereta mainan.

“Adik, ni apa mainan sepah-sepah ni. Kesian la ibu dah kemas banyak kali.” Suara Ikramah tidak dihiraukan oleh Mus’ab. Dia hanya menggeleng kepala. Terus dia ke sinki untuk membasuh tangannya.

Ikramah terkejut apabila melihat pinggan mangkuk berlonggok di dalam sinki. Dia rasa sayu.

“Kesian ibu. Berkejar ke sana sini. Tidak sempat pun nak selesaikan urusan di dapur.” Ikramah mengambil sebuah pinggan di sinki, dan mula membasuhnya. Kemudian diikuti oleh pinggan mangkuk yang lain.

Selesai urusan membasuh pinggan mangkuk, Ikramah kembali ke meja makan untuk bersarapan. Dia mengambil tempat , kemudian menceduk nasi ke dalam pinggannya.

“Mus’ab dah makan ke? Meh join abang Im makan.” Ikramah cuba untuk memancing perhatian adiknya yang berumur 9 tahun itu.

“Dah. Semua dah makan. Abang Im dan ibu je yang tak makan lagi.” Ikramah terkejut dengan jawapan Mus’ab. Dia mengerling jam dinding di ruang tamu. Hampir pukul 9.00 pagi. Ibunya masih tidak pulang daripada pasar lagi. Selalunya ibunya akan pulang sekitar waktu ini. Menjadi rutin ibu setiap hari, awal-awal pagi lagi ibunya akan memasakkan sarapan buat mereka. Kemudian menghantar adik-adiknya ke sekolah. Kemudian terus bekejar ke tempat kerjanya. Jika di pagi hujung minggu ini, ibunya akan sibuk pergi ke pasar.

Ikramah bersyukur sekurang-kurangnya, sejak di a pulang daripada United Kingdom, beban ibu sedikit berkurang. Setiap pagi, dialah yang membantu ibu menghantar Nusayba dan Rumaysa ke sekolah. Kadang-kadang dia turut membantu ibunya di dapur.

“Pin pin”

“Yey yey! Ibu balik.” Mus’ab yang berada paling dekat dengan pintu rumah meluru keluar. Ikramah yang masih tidak habis nasinya cepat-cepat bangun dan meluru ke dapur. Membasuh tangannya lalu menuju terus ke luar rumah.

“Im, mari tolong ibu ini.” Ikramah bergegas membantu ibunya mengangkat barang dari dalam bonet kereta ke dalam rumah. Tidak sampai 5 minit, semua barang sudah dipunggah masuk.

“Im dah makan?” Soalan pertama daripada seorang ibu.

“Im tengah makan tadi. Jom kita makan sekali ibu. Mus’ab kata ibu tak makan lagi.” Ikramah memegang tangan ibunya, dengan harapan untuk ibunya turut menjamah sedikit makanan.

“Tak apalah Im. Im makan dulu. Ibu nak siang ikan ni hah.” Puan Hasnah, ibu Ikramah terus meluru ke dapur.

“Im tolong ibu.” Ikramah cepat-cepat membuntuti ibunya ke dapur.

“Boleh. Tapi habiskanlah makan tu dulu.” Ikramah tersenyum dengan saranan ibunya. Dia membasuh tangan, dan duduk kembali di meja makan untuk menyudahkan makanannya yang bersisa tadi.

Selesai.

Dia terus kedapur. Puan Hasnah sedang tekun membersihkan ikan. Insang dan perutnya dibuang. Ikramah pula menyimpan barang-barang dapur di tempat yang sepatutnya.

“Ibu…” Ikramah tiba-tiba bersuara.

“Kenapa Im?” Puan Hasnah membalas ringkas. Dia tidak menoleh kepada Ikramah. Tangannya ligat membersihkan ikan-ikan di dalam sinki.

Suasana jadi sepi.

Puan Hasnah menoleh apabila pertanyaannya tidak terbalas. Ikramah sedang memandangnya dengan pandangan yang penuh makna.

“Kenapa Im pandang ibu macam tu?” Puan Hasnah kehairanan.

“Erm.. tak ada apalah ibu. Lupakan sahaja.” Ikramah tidak sampai hati menyampaikan hajat yang sudah lama terpendam dalam hatinya. Dia ingin mengadu perihal ayahnya kepada ibunya, tetapi dia risau ibunya akan terasa hati.

“Mungkin belum tiba masanya.” Hati Ikramah berbisik.

***

Usai solat isyak, dia setia berada di sejadahnya. Mushaf Al-Quran diambil, dibelek-belek mencari ayat-ayat yang mungkin mampu mengubat hatinya yang galau saat ini. Mesej daripada ayahnya, Encik Zakwan benar-benar menganggu fikirannya.

Assalamualaikum Im. Apa khabar? Im, ayah ada hajat sikit. Ayah nak pinjam duit Im dalam RM 3000. Pejabat ayah sudah lama tidak dibayar sewanya.Dah 4 bulan dan ayah perlukan sedikit modal untuk pertahankan business ayah. Harap Im dapat bantu. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan Im.

Hajat ayahnya didalam mesej pesanan ringkas melalui telefon itu masih terpapar kemas dalam mindanya. Dia jadi buntu. Wang yang dia ada sekarang ini baru sahaja dia berhajat untuk digunakan sebagai persediaan untuk  memulakan kuliah Master. Kini ayahnya pula hendak meminjam duit tersebut. Dia kenal ayahnya. Perniagaan ayahnya tidak terlalu besar. Kadang-kadang jika ada untung, adalah pendapatan. Jika tidak, untungnya hanya cukup untuk membayar duit sewa pejabat.

Dia sendiri tidak pernah meminta balik wang yang dipinjam oleh ayah. Apabila ayah nak beri, dia ambil sahaja. Lagipun ketika di luar negara, dia mendapat biasiswa, jadi sedikit sebanyak dia dapat mengurangkan beban ayahnya. Dia tidak kisah jika ayahnya meminta tetapi kenapa ayahnya perlu berjanji untuk membayar kembali? Ayah tidak pernah menepati janji.

Ikramah masih ingat ketika dia masih kecil. Ayah akan berjanji untuk membelikan hadiah  permainanan jika dia berjaya dalam pelajaran. Tetapi apabila saat itu tiba, ayah tidak membelikannya seperti dijanjikan tetapi hanya diganti dengan berjalan-jalan di pasar raya besar. Waktu itu dia tidak kisah, kerana dapat keluar berjalan-jalan pun merupakan satu kebahagiaan bagi dirinya. Tetapi apabila  dia melonjak ke zaman sekolah menengah, pernah sekali ayahnya berjanji untuk membawa mereka sekeluarga bercuti ke Langkawi jika dirinya berjaya mendapat keputusan cemerlang di dalam PMR. Tetapi apabila keputusan diumumkan dan Ikramah memperoleh A bagi semua subjek yang diambil, ayahnya seakan-akan lupa akan janji itu.

Sejak daripada peristiwa itu , Ikramah sukar untuk mempercayai ayahnya. Padanya, ayahnya seorang yang mementingkan diri sendiri dan hipokrit. Dia tambah meluat pada ayahnya apabila ayahnya masih tidak berubah perangai. Masih menjanjikan benda-benda mahal pada adik-adiknya sedangkan hutang dengannya pun tidak selesai lagi.

Berjasa pada ayah? Dia bukan tidak tahu itu semua. Malah sejak dia ke bumi United Kingdom, dia mula bersentuhan dengan dakwah dan tarbiyah. Pastinya topik berkenaan berbuat baik kepada ibu bapa itu sudah disentuh. Maka dia bersungguh-sungguh berbuat baik dengan ibunya. Tetapi dengan ayahnya, dia ego. Dia tidak rasa ayahnya bertanggungjawab pada dirinya dan keluarganya. Jadi padanya apa keperluan untuk dia balas jasa ayahnya? Dendam sejak zaman kanak-kanak ini benar-benar buat dia betul-betul hilang pertimbangan. Walaupun dia tidak pernah meniggikan suara dengan ayahnya, tetapi ternyata hatinya bergelojak dengan amarah yang sangat dahsyat.

Jangan sampai kau beria mengajak manusia kepada Islam, tetapi kau tidak settle masalah kau dengan ayah kau.

Kata-kata dari sahabatnya tempoh hari tiba-tiba terngiang-ngiang di kepalanya. Ikramah memegang kepalanya. Pening.

“Ahh! Kau tak lalui masalah yang aku lalui, Abu.” Ternyata emosi amarah Ikramah bertindak terlebih dahulu daripada sifat rasionalnya.

Ikramah bangun. Mushaf Al-Quran diletakkan di atas meja. Dia nekad, malam ini dia perlu meluahkan segalanya kepada ibu. Dia tidak tahan lagi melihat ayah seakan-akan tidak bertanggungjawab terhadap keluarga. Dia tidak kisah jika dia seorang sahaja yang terkena tempias perangai ayah. Tetapi dia berang apabila ibu dan adik-adiknya turut terpaksa berkorban. Ibu pula yang banyak menguruskan Ikramah adik-beradik. Ayah hanya sibuk dengan perniagaannya.

Ikramah bergerak ke kamar Puan Hasnah. Dia terdengar alunan bacaan Al-Quran. Pasti sekali itu suara ibunya yang sedang membaca Al-Quran. Ikramah mengetuk perlahan pintu biliknya.

“Siapa?” Terdengar suara daripada dalam bilik.

“Im, ibu.” Ikramah membalas.

“Masuklah Im. Pintu tak kunci tu.” Puan Hasnah membalas.

Ikramah menguak pintu bilik ibunya. Puan Hasnah yang masih berada di atas sejadah memandang ke arahnya. Tersenyum.

“Ibu, maaf Im menganggu. Im ada sesuatu nak tanya ibu.Boleh ke?” Ikramah memulakan bicara. Puan Hasnah hanya mengangguk. Dia mengisyaratkan Ikramah untuk duduk berhampiran dengannya.

“Ada apa yang boleh ibu bantu?” Puan Hasnah bertanya lembut.

“Ibu..” Suara Ikramah tersekat-sekat. Dia sebak. Tidak mampu meneruskan kata-katanya.

“Kenapa ni Im? Cuba cerita kat ibu?” Puan Hasnah mengangkat muka Ikramah yang tertunduk. Ikramah mengesat air matanya. Dia risau jika kata-katanya nanti akan melukakan hati ibunya, tetapi dia harus meluahkan rasa hatinya malam ini juga.

“Ibu, kenapa ayah buat kita macam ni?” Akhirnya Ikramah meluah.

“Maksud Im?” Puan Hasnah kehairanan.

“Kenapa ayah pentingkan diri? Dia tak tolong pun kita kat rumah. Dia hanya sibuk dengan urusan perniagaan dia. Im tak suka dia seperti gunakan kuasa dia sebagai ayah sedangkan dia tidak pernah mainkan tanggungjawab dia sebagai ayah.” Ikramah menceritakan tanpa selindung.

“Dia tidak pernah tengok pun adik-adik, pandai baca Quran ke tak. Nusayba dan Rumaysa masih merangkak-rangkak membaca Al-Quran. Sedangkan itu tanggungjawab ayah untuk mengajar mereka. Kalau tak mampu, ayah sepatutnya carikan guru. Ayah bukan tidak tahu hal agama.”

“Bila Im kat UK pun macam tu ibu. Bila dia susah barulah dia nak tanya-tanya khabar Im. Tapi sebenarnya nak pinjam duit Im. Tapi kalau tak  ada apa-apa masalah tak ada pula dia tanya khabar Im. Ayah tak pernah faham keperluan Im. Im nak sambung Master, tapi dia hanya nak suruh Im kerja dengan dia.  Dia berbaik-baik dengan Im bila ada keperluan sahaja. Dia hipokrit ibu. Im tak suka.” Ikramah menangis, Air mata lelakinya gugur jua. Dia memandang wajah Puan Hasnah. Wanita itu senyap sahaja. Wajahnya tenang.

Tiba-tiba timbul rasa bersalah di hati Ikramah kerana telah melukakan hati ibunya. Tetapi, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya.

“Im, sebelum ibu bercakap mengenai ayah, ada sesuatu yang ibu nak tanya Im.” Puan Hasnah akhirnya bersuara.

“Ya ibu?” Sedu Ikramah semakin reda.

“Kenapa Im buat baik dengan ibu?”

“Sebab Im sayang ibu dan sebab Allah suruh buat baik dengan ibu.” Ikramah jelas dengan jawapannya.

“Jadi kenapa dengan ayah Im tak boleh buat baik? Im tak sayang ayah ke?” Puan Hasnah memancing jawapan Ikramah.

“Sayang. Tapi ayah tak jalankan tanggungjawab dia. Macam mana Im nak buat baik dengan dia.” Ikramah membalas pantas. Dia pasti dengan jawapannya.

“Jadi, sebenarnya Im buat baik dengan ibu pun bukan kerana Allah. Tapi kerana ibu bertanggungjawab terhadap Im, dan Im nak balas jasa ibu, betul kan?” Ikramah terkedu dengan jawapan ibunya. Dia memandang Puan Hasnah.

“Im… berjasalah pada ayah kerana Allah nak, walaupun mungkin kau rasa dirinya tidak berjasa.” Mata Puan Hasnah bergenang. Ikramah tersentak. Dia jadi sebak semula. Lidahnya kelu. Dia tidak mampu menatap wajah ibunya.

“Itu pandangan Im pada ayah. Tetapi Im tidak pernah tahu apa yang ayah buat selama ini. Anak-anak mungkin tidak nampak ayah berjasa pada keluarga ini. Tetapi ibu sebagai isterinya, ibu tahu.”

“Im tahukan, ayah tidak sekolah tinggi. Itu sahaja pekerjaan yang dia mampu usahakan untuk keluarga. Walaupun mungkin pekerjaan ibu lebih baik, tetapi dia sudah cuba untuk membuktikan pada anak-anaknya untuk dia berusaha memberi makan kepada kita semua.”

“Mungkin dia terlepas pandang dalam hal mendidik anak, tetapi Im sendiri dah besar, dia bergantung harap pada Im untuk membantunya dalam perniagaan dan mendidik adik-adik.”

“Im, ini antara kita dengan Allah. Perbuatan baik kita ini kerana Allah. Bukan kerana ayah. Ayah dan tanggungjawabnya, dia juga perlu berurusan dengan Allah. Tapi, Im anak ibu, kena rasa Im sedang berurusan dengan Allah. Allah tak pernah tanya sama ada ayah hargai jasa Im ke tak. Tapi apa yang Allah tanya adalah apa yang Im dah buat untuk berjasa pada ayah.”

“Astaghfirullah…astagfirullah…astaghfirullah…” Ikramah beristighfar panjang. Suasana jadi sepi seketika.

“Ibu.. maafkan Im.” Ikramah memeluk ibunya. Puan Hasnah membalas pelukannya.

“Ibu pun minta maaf. Sepatutnya ibu kena perjelaskan hal ini kepada anak-anak ibu supaya mereka tidak salah sangka dengan ayah sendiri. Dan ibu jugalah yang sepatutnya melihat-lihat bacaan Quran Rumaysa dan Nusayba.” Puan Hasnah merendah diri.

“Ibu. Ibu tidak salah, Im yang salah. Im sebagai anak sulung sepatutnya lebih banyak bekorban untuk keluarga. Tetapi Im pula yang cepat hilang sabar. Terima kasih ibu sebab menyedarkan Im akan hakikat diri ini.” Ikramah meleraikan pelukannya.

Oh Ayah. Betapa kau beruntung mendapat isteri semulia ibu.

Puan Hasnah berjanji akan berbincang dengan Encik Zakwan mengenai hajat Ikramah untuk menyambung Master. Ikramah hanya tersenyum kelat. Dia kemudia meminta diri. Dia ingin memuhasabah kembali kondisi hatinya dan pesanan ibunya tadi. Dia menuju ke biliknya. Di bilik, dia terus duduk kembali di sejadah. Mengambil Mushaf Al-Quran. Dia cuba untuk menyisihkan segala perasaan negatif mengenai ayahnya dalam diri.

Tetapi, mengingati kembali akan hajat ayahnya untuk meminjam wang, sekali lagi dia rasa serba salah. Dia sendiri tidak cukup wang saat ini.

“Ya Allah… tak solehnya aku ni.” Ikramah menutup wajahnya dengan kedua belah tangannya. Dia menangis lagi. Menangisi kondisi hatinya yang terpengaruh dengan bisikan syaitan.

“Macam mana aku nak buang ego dengan ayah, Ya Allah.” Hatinya terus mengadu.

“Ayah lebih pentingkan diri dia sendiri daripada keluarga ini.” Tersedu-sedu Ikramah menahan sebak.

Mushaf Al-Quran yang dipegangnya diletak rapat ke dada. Dia menundukkan kepala. Air matanya dikesat.

“Ya Allah. Bimbinglah hambamu ini.”

Ikramah membuka mushaf Al-Quran. Sejurus itu dia mula membaca ayat-ayat Allah dalam muka surat mushaf yang dibuka secara rawak itu. Selesai membaca satu halaman, dia membaca maksud-maksudnya. Dia tidak mahu membaca tanpa mengetahui maksud perkataan yang dibaca. Walaupun masih memperoleh pahala jika membaca tanpa maksud, tentu hasilnya berlainan berbanding dengan  membaca dengan menjiwai maksudnya.

Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dan membatasi (bagi siapa yang Dia kehendaki). Mereka bergembira dengan kehidupan dunia, padahal kehidupan dunia hanyalah kesenangan (yang sedikit) dibanding dengan kehidupan akhirat.

“Allahu akbar!” Tidak semena-mena Ikramah bertakbir apabila tiba pada maksud ayat 26 daripada surah Ar-Rad. Dia lantas terus sujud syukur. Air matanya mengalir deras.

“Ya Allah. Hambamu ini terlalu tidak bersyukur dengan nikmatMu. NikmatMu terlalu banyak. Mengapakah aku terlalu kedekut dengan ayahku sendiri sedangkan Engkaulah Pemberi Rezeki? Terima kasih Ya Allah kerana menyedarkan aku.” Ikramah terus berkeadaan begitu beberapa ketika. Dia terus mengucapkan kata-kata syukur dan pujian kepada Allah. Tidak lama kemudian dia bangkit. Di kesat air matanya. Dia bangun dan terus mengambil telefon bimbitnya di atas katil. Ikramah hendak membalas mesej ayahnya pada petang tadi.

Waalaikumsalam ayah. InshaAllah boleh. Nanti Im masukkan dalam akaun ayah.

Sent.

Seusai itu, satu perasaan bahagia menyelinap ke hatinya. Dia rasa tenang kini.

Maafkan Im,ayah. Hakikatnya ayah tidaklah sejahat Abu Jahal, ayah kepada sahabat nabi,Ikramah. Ayah adalah ayah Im. Dan kerana engkau adalah ayah, maka redha Allah terhadapku berada dalam redhamu.

*TAMAT*

Nota : Cerpen shinka tidak berjaya disudahkan. Kekeringan idea. Huhu. InshaAllah akan disambung nanti.

5 Responses to “CERPEN : Kerana Engkau Adalah Ayah”

  1. Nailah Kadir March 21, 2011 at 2:12 am #

    nice..nice..
    very2 nice..
    bergenang air mata~~

    • mukminahmujahidah April 27, 2011 at 6:53 pm #

      Terima kasih nailah. Moga ada manfaatnya.🙂

  2. nur cahaya April 12, 2011 at 10:49 pm #

    salam ziarah

    jzkk for sharing =)

    • mukminahmujahidah April 27, 2011 at 6:55 pm #

      Terima kasih atas ziarah nur cahaya. Moga ada manfaat yang diperoleh daripada blog ni🙂

Trackbacks/Pingbacks

  1. Cerpen : CHESS « ::Mukminah Mujahidah Menongkah Arus:: - February 17, 2012

    […] cerpen ini dan satu cerpen lagi, kerana engkau adalah ayah, nak dimasukkan dalam kumpulan cerpen gabungan dengan kawan-kawan yang minat menulis […]

Ingin berkongsi? Luahkan.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: