Kasihnya Allah pada kita.

17 May

Ingin berkongsi coretan daripada seseorang yang amat dekat dengan diri saya.Moga ada kebaikan daripadanya.InsyaAllah.

Bismillahirrahmanirrahim…

   Ku bersyukur kepada Allah,disebalik kelemasan diriku terperangkap di tengah kekalutan umat,disebalik kelalaian dan kelemahan diriku mentaati perintahNya,Dia masih sudi menyelamatkan aku dari tipu daya dunia.Menyedarkan aku dari lena yang panjang.Tahukah kalian Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?Kasih dan sayangnya Allah pada kita melebihi kasih dan sayang seorang ibu.

Dalam kesempatan yang amat singkat ini,ku lari sebentar daripada agenda mengulangkaji pelajaranku,ingin mencoret suatu kejadian yang berlaku dalam kamus hidupku hari ini bagi tatapan ummah moga ia menjadi pengajaran berharga buat diriku dan semua.

Peluang datang

 Beberapa minggu yang lalu aku dihubungi seorang teman baikku mengatakan adanya peluang kerja sebagai pengasuh budak ketika cuti musim panas ini.Mendengarnya,aku terus berminat dan maklumatku terus disalurkan kepada kawan si majikan.Kawannya menghubungiku dan menerangkan secara ringkas prosedur kerja.Menurut perkiraanku ia agak mudah dan fleksibel,menjaga seorang bayi berumur 3 bulan,anak orang Arab yang akan datang bercuti di negara ini pada bulan 6 nanti.

Berdoa dan bermimpi

  Aku tidak terlalu berharap,dan tidak juga terlalu memikirkan memandangkan tawaran datang ketika aku sedang sibuk bergelut dengan peperiksaan.Walau bagaimanapun,aku tidak tahu mengapa kerja ini begitu menarik hatiku sehingga aku termimpi-mimpi mengenainya.Justeru,aku hanya memanjatkan doa kepada Allah supaya dipermudahkan urusanku jika kerja itu membawa kebaikan kepadaku dan menjauhkannya dariku jika ia buruk bagiku.

Ditemuduga

 Hari berganti hari,tiada sebarang berita mengenai tawaran itu.Aku pasrah.Namun beberapa hari yang lalu si kawan itu menghubungiku dan mengatakan si majikan mahu bertemuku untuk di temuduga.Bagiku,terlalu mudah rasanya prosedur itu.Tidak banyak usahaku tetapi Allah memudahkan segalanya.Didalam hati,terdetik mungkin kerja ini baik bagiku kerana perjalanannya amat lancar dengan izin Allah.Jadi,semalam aku pun pergi bertemu dengan si majikan.Subhanallah,majikannya amat baik.Peramah. (Walaupun aku tidak dijamu apa-apa ;p ).Hasil perbincangan kami bersetuju.Dan dengan mudahnya dia berpuas hati denganku.Cuma satu perkara yang merisaukan diriku ketika itu,waktu kerjanya adalah dari pukul 9 pagi hingga 11 malam sepanjang hari,7 hari seminggu.Dan perlu mula bekerja pada awal jun,beberapa hari sahaja selepas diriku tamat peperiksaan.Ketika itu aku meminta agar aku dapat pulang lebih awal,lebih kurang 10 malam dan dia minta penangguhan untuk memikirkan hal itu.

  Sepanjang perjalanan pulang aku cuba berkira-kira.Betulkan tindakanku ini?10 malam juga bagiku sudah lewat.Tetapi seperti majikan itu katakan,sekarang maghrib masuk lewat.Pukul 9 malam baru gelap.Ya ada benarnya.Jadi aku kukuhkan hati,dan cuba meyakinkan diri ini yang terbaik.Sambil-sambil berjalan pulang aku sempat melihat keadaan sekeliling dan men’survey’ jalan terpantas untuk pulang ke rumah ketika pulang bekerja nanti sambil lidahku tak sudah-sudah mengucapkan syukur.Walaupun jalannya agak sunyi tetapi aku yakin ia selamat,dan perjalanan ke tube station hanya mengambil masa selama 5 minit sahaja.Dan suasana di kota London ini tidak sunyi ketika malam.Masih ada ramai warga kota yang masih menggunakan pengangkutan awam.Jadi aku benar-benar yakin akan kemampuanku berjalan seorang diri selain yakin Allah akan ada sentiasa bersamaku.Pengalaman bermastautin disini selama dua tahun memang banyak mengajarku untuk berdikari dan berjalan seorang diri.

Mengira gaji

  Setibanya di rumah,aku menceritakannya kepada housemate ku.Ucapan tahniah diterima.Hati berbunga-bunga.Dia bertanya mengenai gaji yang bakal ku peroleh.Ku sebutkan.Dan apabila dikira-kira rupanya aku hanya memperoleh kurang daripada £3 per jam!Waktu tu diriku terpana.Biar betul.Terasa diri benar-benar kurang cerdik.Hakikatnya aku seorang mahasiswi luar negara tetapi tidak mampu mengira dengan baik.Aku teruja dengan gaji total.Gaji yang mencapai 4 angka pound untuk sebulan bagiku sudah cukup.Tetapi aku terlupa masaku banyak dihabiskan di rumah majikan dan masaku bersama-sama orang yang hampir denganku akan kurang.Mana tidaknya,aku perlu keluar pagi-pagi buta untuk ke rumah majikan yang mengambil masa satu jam perjalanan dan pulang agak lewat.Tetapi aku cuba menenangkan hati.Kerana bukan masalah gaji yang menggangu jiwaku yang sebenarnya.Aku ambil kerja ini sebagai jalan untuk aku mencari pengalaman kerja,belajar bahasa arab dan mencari kenalan baru.Jadi aku redha dengan gajiku.

Nasihat seorang ibu

  Ibuku antara orang pertama yang pasti ku khabarkan akan berita ini.Sebelum aku mendapat tawaran ini telah ku khabarkan terlebih dahulu.Ibu amat risau pada mulanya kerana katanya orang Arab kasar dan suka memberi kerja yang berat.Tetapi aku cuba meyakinkan ibu bahawa aku akan cuba melihat keadaan majikan dan skop kerjanya bagaimana dahulu.Jadi ibu membenarkan.Kemudian,ketika semalam aku menghubungi ibu aku memberitahu segala solusi bagi setiap perkara yang merisaukan ibu.Ibu setuju cuma satu,waktu kerjaku yang terlalu lama.Kata ibu,ibu hanya kerja di pejabat dari pagi sampai petang pun sangat letih bagaimana diriku mampu memikul kerja-kerja rumah yang rasanya mampu mencuri tenaga yang lebih banyak?Aku cuba memujuk ibu mengatakan aku mampu.Tetapi ibu turut mengatakan yang aku wajib meminta majikan supaya aku dibenarkan pulang lebih awal.Aku pun bersetuju apabila memikirkan kebenaran kata-kata ibu.Tetapi berfikir akan melakukannya selepas tamat peperiksaan nanti dan ketika mula bekerja kerana aku malas hendak memikirkan hal itu ketika aku sedang sibuk bergelut dengan peperiksaan.Ibu juga menyuruh aku lebih menumpukan lebih perhatian kepada study dan banyak meminta petunjuk daripada Allah.Aku akur.

Resah

 Selesai menghubungi ibu aku meneruskan kembali ulangkaji ku.Menyelesaikan kerja-kerja yang ku tangguhkan pada hari itu.Ketika membaca aku tidak dapat menyembunyikan rasa gembira.Aku tidak sabar ingin memulakan kerja.Tetapi entah bagaimana tiba-tiba satu persoalan datang dalam benak jiwaku.Aku perlu mula bekerja awal.Bagaimana hubunganku dengan teman-temanku dan housemate-housemate ku nanti?Mereka akan pulang ke Malaysia pada awal Jun nanti.Siapa yang akan meraikan dan membantu mereka?Siapa yang akan membantu mencari rumah untuk mereka?Di mana hak-hak mereka yang harus aku tunaikan nanti?Bagaimana dengan teman-temanku yang membutuhkan pertolonganku sepanjang cuti nanti?Sedangkan aku sibuk bekerja sepanjang hari.Bagaimana perjalanan usrah mingguanku nanti?Bilakah  lagi aku dapat berjumpa teman-teman usrahku kalau bukan ketika ini sebelum mereka semua pulang ke Malaysia?

  Persoalan-persoalan ini benar-benar membunuh jiwaku.Kepalaku terasa berat.Tetapi aku cuba juga menenangkan hati.Akan ku cuba membantu teman-temanku sebelum aku mulakan kerja.Ada lebih kurang dua hari masa untuk membantu sebelum hari bekerja itu.Tetapi jiwaku masih resah.Rasa bersalah yang amat sangat dan rasa resah yang padaku jarang sekali aku rasakan.Kemudian fikiran-fikiran buruk pula satu-satu mula menerjah ke dalam fikiran.Berani ke aku balik lewat malam ni?Macam mana kalau ada orang jahat?Tanpa dipaksa,jari-jariku bermain-main,membuka laman web pasaran maya mencari PEPPER SPRAY dan PERSONAL SELF DEFENCE ALARM!

  Aku cepat-cepat beristighfar.Benarkah aku ini?Benarkah tindakanku ini.Sampai begitu sekali fikiranku.Perasaan resahku lantas membuat aku gagal untuk menumpukan perhatian pada ulangkajiku.Aku membersihkan diri dengan wuduk dan solat sunat taubat.Pada fikiranku mungkin dosa-dosaku yang membuat hatiku resah.Tetapi masih tidak terdaya.Perasaan resah semakin menjadi-jadi.Dan akhirnya aku sedar aku tersilap membuat pertimbangan.Tetapi aku tidak tahu bagaimana hendak menarik diri daripada kerja itu.Kerana aku sudah berjanji.Dan aku sangat kasihan pada majikan itu.Terlalu baik pada fikiranku.

  Resah dibawa sehingga saat hendak tidur.Tidak putus-putus meminta ampun daripada Allah kerana bertindak atas nafsu semata-mata.Dan meminta moga Allah berikan petunjuk dan kemudahan.

Pagi yang mendamaikan

 Selesai solat subuh secara berjemaah bersama-sama housemate,aku cuba untuk mentadabur Al-Quran.Terasa hati sedikit lunak.Hati kembali tenang.Dan ketika itu aku yakin,mungkin kerana dosa-dosaku yang membuat hati serba tidak kena.Aku bersyukur kepada Allah kerana memberi ketenangan hati ini.Selesai tadabur,kira-kira jam 4.30pagi aku kembali cuba untuk mengulangkaji pelajaran,menggantikan kembali masaku pada semalam hari yang tidak terisi sebelum tumpas dengan rasa kantuk pada jam 7.00 pagi.

Teguran seorang sahabat

  Ketika jam kira-kira pukul 12 tengahari,seorang sahabat menegurku melalui YM.Ada beberapa hal yang kami sembangkan dan akhirnya ku khabarkan tawaran kerja yang aku peroleh.Justeru mendapat berita itu terus ditanya lebih detail.Macam mana kerjanya?Sudah bincang waktu solat atau tidak?Dan ketika itu aku dapat menjawap dengan mudah.Sehingga apabila dia mengetahui aku terpaksa bekerja sehingga ke 10.00malam,terasa riak risau daripada penulisannya.Dia meminta aku menghubungi majikan sebelum mulanya bekerja untuk mengubah waktu pulang yang lebih awal.Tetapi padaku aku katakan perkara itu boleh diuruskan apabila aku mula bekerja nanti.Tapi pengalamannya mengatasi segalanya.Dia menyuruh aku memberi tahu lebih awal supaya semua perkara jelas dan tidak ada unsur tidak puas hati bagi kedua-dua belah pihak nanti.Aku masih berdalih lagi,mengatakan bahawa keadaan kawasan rumah majikan agak selamat dan terus mengutarakan hujah-hujahku yang kini ku rasa tidak boleh pakai lagi.Perasaanku yang ingin sangat-sangat  mencari wang saku ketika cuti nanti yang menolakku dan merelakan ku selagi ku rasa kerja itu tidak bertentangan dengan syarak.

   Sehinggalah,dengan penuh kasih sayangnya Allah menggerakkan hati sahabatku itu untuk berkata :

Teman : its up to u

Teman : cuma pd akak blk malam sorang2…

Teman : x sesuai…dan x soleh..

  Cukup takat itu.Aku terpana.Tidak soleh?Ia itu yang sebenarnya kunci kepada keresahan hatiku.Memang,memang aku yakin aku dapat melakukan kerjaku itu dengan baik.Aku yakin aku dapat pulang,menggunakan pengangkutan awam tanpa rasa takut kerana Allah sentiasa bersama.Memang aku rasa aku boleh menjadikan pengalaman bekerja ini sebagai pengalaman yang berharga dan boleh belajar bahasa Arab.

  Tetapi aku terlupa suatu benda…

Seorang muslimah yang pulang lewat malam seorang diri tanpa ditemani oleh mahramnya yang lelaki atau dua orang wanita tanpa ada kepentingan yang utama…adakah itu boleh mendatangkan redha Allah?Adakah itu boleh mendatangkan pahala dari Allah walaupun hakikatnya niatku untuk bekerja cuti nanti adalah niat yang murni?Sedangkan perlakuanku itu mampu menimbulkan fitnah yang amat besar pada diriku dan Islam.

Aku terlupa itu Ya Allah..aku terlupa…

Kemudian aku menghubungi majikanku.Meminta izin untuk pulang lebih awal.Menceritakan sebab-sebab keselamatan dan sebagainya.Ketika itu aku sudah bersedia apa jua jawapan yang akan diberikannya.Dan akhirnya dia menjawap…

Majikan : No.No.We can’t make it sister.Sorry sister.Even I just call my daughter and she can’t let you go early at 10pm as well.She wan’t someone that can work until 11pm.

Ketika itu hatiku sebak.Aku cuba untuk membalas kata-kata wanita itu tetapi tidak mampu.Air mataku mula berguguran.Aku tidak tahu kenapa aku menangis?Adakah kerana kecewa kerana musnahlah harapanku kini untuk mendapat kerja itu atau kerana bersyukur Allah menyelamatkan aku?

Aku gagahkan juga diri untuk berkata.Walau nadaku dalam keadaan sebak.

Me : If that is the case madam…I am very very sorry…I have to withdraw from this job.I can’t make it..Im sorry..

Sedu ku cuba ku tahan supaya tidak kedengaran oleh wanita itu…

Majikan : Its ok sister.We can find another person.We are sorry as well.

Me: May you find a better sister than me..

 Tamat perbualan.Air mataku laju berderaian.Aku menangis bukan kerana sedih kerana gagal mendapat kerja.Tetapi menangis kerana terharu dan bersyukur kerana Allah masih memberi teguran kepadaku di saat aku sering lalai,sering leka,ego,dan banyak melakukan dosa,Allah masih memberi harapan untuk aku terus bernafas mencari-cari jalan yang lebih diredhaiNya.

  Allah itukan pengasih.Allah itu penyayang.Aku tidak pasti bagaimana kedudukanku disisi Allah dalam keadaan diriku yang berdosa ini tetapi aku yakin Allah berada pada sangkaanku padanya.

   Kadang-kadang aku terlalai, melihat kemampuanku,kelebihanku buat aku lupa,Allah jugalah memberi segala kekuatan dan kemampuan kepada setiap hambaNya.Dia bisa menariknya pada bila-bila masa dan membuatkan diri hambaNya menjadi seorang yang sangat lemah!Lemah selemahnya.Hakikatnya aku memang lemah,jika kerana tidak kerana rahmat dan kasih sayangNya,tiadalah nilai apa aku di dunia ini.

  Kadang-kadang ada perkara yang kita rasa syarak tetapi sebenarnya ada benda-benda sampingan yang tidak syarak yang turut berlaku.Hanya orang-orang yang memandang dengan mata hati dan dengan kurnia Allahlah dapat membezakannya.

  Kadang-kadang aku lupa menyandarkan harapan padaMu Ya Allah.Lupa bergantung harap padaMu.Terlalu yakin dengan usaha dan kemampuan sendiri.Ampunkan aku Ya Allah,dan jadilah aku antara hamba-hamba yang paling banyak bersyukur,bergantung harap padaMu dan yang bertaqwa.Ameen.

Di dalam hadis qudsi ada mengatakan,

          Aku berada pada sangkaan hambaKu pada Ku,jika dia mengingatiKu didalam hatinya,maka Aku mengingatinya dalam hatiKu,jika dia mengingatiKu di dalam khalayak ramai,maka Aku akan mengingatinya dalam khalayak yang lebih ramai lagi.Jika ia mendekatiKu sejengkal,maka Aku akan mendekatinya sehasta.Dan jika ia mendekatiKu sehasta,Aku mendekatinya sedepa,dan jika ia mendatangiKu dengan berjalan,Aku akan mendatanginya dengan berlari.

~Sister~

   Kasih sayang Allah itu datang dalam pelbagai bentuk.Terlalu banyak sehingga tidak terhitung banyaknya,tidak habis tersenarai.Moga kita semua terpilih menjadi hamba-hambaNya yang mendapat redhaNya.

Wallahualam.

4 Responses to “Kasihnya Allah pada kita.”

  1. nazz May 22, 2009 at 3:23 am #

    salam. alhamdulillah, baru hari ni dapat baca khabar anti. tahniah kerana berjaya menempuh segala kesulitan yang tersirat….alhamdulillah.

    anti cari lah kerja yang adil buat diri anti. Sebab kita kan senang futur….bila lelah nanti, nak solat dan baca Quran lebih sikit pun dah tak ada masa. Ana rasa bukan fitrah orang Melayu bekerja macam tu…orang Nepal or Bangla barangkali. Badan kita tak kuat macam mereka.

  2. hood May 26, 2009 at 4:19 pm #

    Salam,

    Alhamdulillah, barangkali allah mahu buka peluang pada nt berfikir dan cuba consider semua aspek.

    Semoga ketemu part time job yg lebih baik..

    Niat mesti jernih, amal mesti ikhlas..

    salam mujahadah dari barat perlembahan nil~

  3. ichigo13 May 29, 2009 at 1:12 am #

    Assalamualaikumwarahmatullah..
    Minta izin saya copy cerita ni untuk santapan rohani kawan-kawan saya.
    Harap dapat keizinan saudari.

    • mukminahmujahidah May 30, 2009 at 11:14 am #

      Waalaikumsalam wbt..
      Jika rasa ada manfaat..InsyaAllah boleh..tafadhal..

Ingin berkongsi? Luahkan.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: