Archive for Perjalanan

Portsmouth : Sekali ku teringat

us

Us @ Portsmouth

 

   Teringat kenangan ketika saya masih bersekolah dahulu.Saya dan adik-adik sering mengikut ibu(baca:umi) dan ayah (baca: abah) saya pergi membeli belah ke pasaraya.Ketika itu dapat mengikut umi dan abah ke Jaya Jusco atau Tesco di Ipoh merupakan suatu kegembiraan yang tidak dapat digambarkan.

  Pada suatu ketika,ketika tiba di tempat memarkir kenderaan di atas bumbung bangunan Jaya Jusco,hampir semua tempat ‘parking’ penuh.Umi yang ketika itu sedang memandu sudah beberapa kali membuat pusingan di tempat ‘parking’ itu untuk mencari tempat kosong.

 ”Semua orang selawat banyak-banyak dan doa..supaya Allah bagi ‘parking’ .” Tiba-tiba abah bersuara.

Alhamdulillah tidak lama kemudian kebetulan ada sebuah kereta yang ingin keluar daripada tempat ‘parking’ tersebut dan ini membolehkan kereta kami mengambil alih tempat tersebut.

“Alhamdulillah..Hah..ni mesti ada sesiapa yang buat amalan sunat ini malam tadi.Allah bagi mudah je dapat ‘parking’ ” Abah bersuara.Cukup ringkas tetapi kata-katanya itu begitu terasa didalam hati saya.

  Mungkin tiada antara kami adik-beradik yang buat apa-apa amalan sunat seperti yang disebut oleh abah,tetapi kata-kata abah itu membuat saya berfikir bahawa Allah akan tolong hambaNya yang ingin dekat dengan Dia.Sengaja abah berkata kemudian untuk bagi galakan kepada kami memperbanyakkan amal soleh.

  Kenangan ini tiba-tiba terimbau apabila saya mengenangkan kejadian yang berlaku pagi tadi…….

   Ketika saya dan rakan-rakan dalam perjalanan hendak menaiki keretapi ke bandar Portsmouth,kami tiba agak lewat pagi tadi.Kami tiba hanya kira-kira 10 minit sebelum masa bertolak.Setelah mengetahui kedudukan platform keretapi yang akan kami naiki,berlari-lari lah kami meluru terus ke pintu masuk keretapi.

   Kiranya,tidak sampai seminit kami duduk didalam keretapi ada seorang pakcik konduktor menegur kami.

“Where are you all going”

“Portsmouth”

“Why don’t you ask me when I was there…outside there?”

Saya jadi bingung.Tanya dia?Buat apa?Dalam keadaan yang masih lelah,saya cuba untuk memproses kata-katanya.Didalam fikiran saya,mungkin pakcik itu ingat kami tersalah platform.

“You all are in the wrong train.You should take the one infront.”

“Hah?”Kami masih pening.

“Why don’t you ask me when I was outside there?You are in the wrong train.Take the train infront.”Pakcik itu nampak tidak puas hati.

“Korang…kita salah ‘train’ ni.Kita punya ‘train’ kat depan”

“Hah?Betul ke?”

“Betul la platform ni sepatutnya.”

“Ada dua ‘train’.Kita punya yang depan.”

Maka kami seramai 14 orang pun berlari lagi cuba meluru ke keretapi dihadapan dalam jangka masa 5 minit sebelum keretapi bertolak.

  Alhamdulillah kami sempat ‘catch up’ keretapi yang sepatutnya.

  Minta maaf jika ceritanya terlalu panjang lebar cuma apa yang membuat saya terfikir akan kejadian ini ialah rasa kesyukuran sangat-sangat bahawa pakcik tadi menegur kami.

   Dia boleh sahaja tidak bertanya pada kami.Bagaimana pula dia boleh terdetik untuk bertanya akan destinasi kami?Malah,say sendiri tidak nampak apa-apa kepentingan padanya untuk menegur kami.

  Tidak lain,kalau bukan kerana Allah jugalah yang mengerakkan hatinya untuk menegur kami.Jadi segala kesyukuran itu sebenarnya saya kembalikan kepada Allah SWT.

 MasyaAllah…kita ini tak pernah-pernah Allah biarkan terkapai-kapai sendiri.Ada sahaja bantuanNya yang datang tanpa diduga-duga.

   Hmm..oleh itu saya langsung jadi ingat peristiwa ini berkaitan dengan kata-kata ayah saya dahulu.Mungkin sahaja ada antara teman-teman saya yang baik amalnya yang telah membuatkan Allah menyelamatkan kami pagi ini.

  Apabila sebut pasal ‘menyelamatkan’ ini…saya jadi ingat pula pada suatu peristiwa tidak lama dahulu.Ketika itu saya ‘terpaksa’ diambil gambar bersama beberapa lelaki  yang kebetulan beratur mengambil makanan berhampiran saya dalam satu majlis oleh badan kerajaan.Telah saya cuba untuk menundukkan wajah tetapi dipaksa untuk memandang kamera juga.

  Bukan terlalu syadid cuma kurang selesa apabila hanya saya seorang sahaja wanita didalam gambar tersebut.

  Saya jadi bimbang takut-takut gambar itu tersebar ke akhbar harian atau mana-mana laman sosial,memandangkan majlis itu merupakan satu majlis perasmian yang dihadiri orang ternama juga.Tanpa sedar saya menyuarakan kerisauan saya itu pada salah seorang teman saya.

“Tak apa kak husna.InsyaAllah Allah jaga akak” Saya senyum mendengar jawapan itu.Tanda setuju.Tetapi dalam hati jadi sayu.

Sejauh mana sebenarnya untuk kita ini rasa bahawa Allah akan menjaga kita?Allah akan menjaga kita jika kita ini cuba untuk menjaga hak-haknya.Ketika itu tidak terdetik untuk meluahkan rasa risau pada Allah.Tidak rasa untuk meminta supaya Allah yang jaga supaya tidak timbul sebarang fitnah.

 Banyak…..

Sangat banyak benda yang saya sendiri akui perlu pelajari dan perbaiki…kita semua juga..

Kita ini…kadang-kadang lebih dahulu mengharap pada manusia sebelum mengharap pada Allah..Moga lain kali diberi rasa yang lebih sensitif untuk lebih-lebih dahulu berharap padaNya..

  Moga kita sentiasa dikurniakan rasa-rasa hati ini…bahawa Allah sentiasa membantu dan menjaga kita..cuma kita sahaja yang selalu tidak sedar…

  Jagalah Allah….pasti Allah menjaga kita.

p/s jalan-jalan dan suasana di Portsmouth..mungkin lain kali sahaja dikongsikan (tak berani janji  ^_^)

Comments (4) »

Satu luahan ‘hamba’

  Saat ini saya sedang memikirkan betapa manusia ini sebenarnya sangat lemah.Kita fikir kita ini mampu berdiri sendirinya tanpa mengharap bantuan daripadaNya.Kita mampu melakukan segala-galanya tanpa kekuatan yang diberikan olehNya.

Saat Dia memberi ujian,kita mudah goyah..kita mudah melatah..kita mudah melenting..

Saat Dia memberi kemewahan…kesenangan..kekayaan..serta kejayaan kita ini mudah lupa padaNya…

Bila lagi untuk kita ini benar-benar bersyukur pada Nya?

Bila lagi untuk kita buktikan bahawa kita ini benar-benar hambaNya?

Hamba yang mengaku bahawa tiada Rabb dan Ilah selainNya?

Hamba yang kononnya takut pada neraka dan mengharap syurgaNya?

 Bilakah lagi….untuk kita menjadi hamba?

Hamba sebenar-benarnya….

Ya Allah.sesungguhnya kami ini tidak pernah terlepas daripada dosa..dunia begitu mengasyikkan kami..kemana kami pergi pasti ia cuba menarik kami kearahnya..dari atas…dari bawah…dari kanan..hatta dari kiri..pesonanya begitu melalaikan..membuat diri kami dan jiwa kami lupa dan alpa seketika…

Tetapi kami juga sedar bahawa rahmat dan keampunanMu lebih besar daripada itu.Maka ampunilah kami.

Kami mohon kefahamanan serta kekuatan untuk terus thabat dan istiqamah di jalan ini..pilihlah kami menjadi kader deenmu ini…

Letakkan dunia di tangan kami bukan dihati kami..Ameen.

Leave a comment »

Kita ni baik sebenarnya

 

Tersesat?Kembalilah padaNya...

Tersesat?Kembalilah padaNya...

“Adam kan jahat” . Adam cuba untuk mencari alasan.

“Semua manusia dilahirkan baik.Tiada yang jahat”.Ustaz Hassan membalas.

Pianng!!

Maka libasan rotan itu hinggap juga di tubuh kanak-kanak itu.

Bagi peminat drama Melayu,mungkin anda mudah mengecam adegan babak diatas dengan sekali baca sahaja.Baru-baru ini sebuah drama Melayu begitu hangat diperkatakan oleh teman-teman saya sehinggalah tempiasnya juga terkena pada teman-teman Melayu yang berada di bumi UK ini.Hati tertanya-tanya apa hebatnya drama ini hingga menjadi buah mulut orang.

Jadi saya pun cuba mencari drama tersebut di you tube dan terjumpa trailernya.Saya tidak pasti bagaimana jalan cerita keseluruhannya tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah babak diatas yang berada didalam video trailer drama tersebut.

Saya ingin mengajak  teman-teman melihat keadaan sekeliling kita.Masyarakat disekeliling kita bahkan menembus hingga didalam diri kita sendiri.Pernahkah perkataan diatas keluar daripada mulut kita?

Katakan kita ini nakal.Kurang lebih,macam Adam didalam cerita tersebut.Kadang-kadang solat terlepas.Penutupan aurat tidak berapa sempurna,hubungan diantara bukan mahram kadang-kadang melebihi batas syarak dan banyak lagi kesalahan yang mungkin kita lakukan.

Dan kemudian pada suatu hari kita  terfikir untuk melakukan perubahan.

Kita ingin sentiasa menjaga solat.Ingin menutup aurat dengan sempurna.Ingin mengurangkan perhubungan dengan bukan mahram yang mampu melalaikan kita dan ingin menjadi lebih dekat dengan Yang Maha Kuasa,Allah SWT.

Tetapi dalam masa yang sama kita rasa rendah diri dan tidak yakin untuk berubah kerana beberapa faktor.Faktor-faktor ini boleh jadi kita takut kita ini dipanggil budak ‘alim’.Mungkin juga kerana kita rasa kita ini jahat sebab kita bukan daripada sekolah agama.

Tidak dapat dinafikan juga,mungkin juga di antara kita ada yang takut untuk berubah kepada kebaikan kerana takut kehilangan kawan ‘zaman dahulu’.

Ada juga diantara kita rasa tidak layak untuk menjadi baik kerana terlalu banyak kerja-kerja jahat dan maksiat yang kita lakukan.Kita rasakan mustahil untuk kita bergaul dengan orang-orang yang baik-baik.

Itu satu kategori manusia yang pertama..

Satu kategori lagi yang amat dirisaukan ialah orang-orang yang rasa dirinya baik dan merasakan orang lain yang berbuat kejahatan tiada harapan untuk berubah memandangkan betapa banyaknya kejahatan yang dia lakukan.

Ketika saya di zaman sekolah dahulu,pihak sekolah banyak mengadakan program motivasi dan program pembangunan ruhuniah.Acap kali didalam setiap program ini akan ada satu sesi dinamakan sesi muhasabah.Saya yakin ramai yang pernah terlibat dengan  sesi seperti   ini dimana kami akan ditunjukkan dengan video-video muhasabah.Tema yang paling popular adalah mengenai jasa ibu bapa.Ketika sesi muhasabah itu kita dapat lihat berapa ramai yang menangis dan berjanji untuk berubah menjadi lebih baik.

Tetapi,semuanya tidak lama.Beberapa hari selepas itu,yang nakal menjadi nakal kembali.Yang malas solat,jadi makin liat.Yang bercampur gaul dengan bebasnya tetap sama.

Kadang-kadang ia membuatkan kita putus harapan untuk membantu mereka.

Jika ini yang kita rasa,haruslah kita perhatikan satu analogi ini.

Bayangkanlah tumbuh-tumbuhan yang tidak  menjadi.Apabila kita memberinya baja dan air,ia akan tumbuh dengan baiknya dan menghasilkan hasil yang baik juga.Jadi cuba kita bayangkan manusia yang diberi akal dan hati.Mereka lebih punya upaya untuk melakukan perubahan.Cuma hatinya perlu dibelai dan disiram dengan cahaya iman.Dipupuk dengan suasana-suasana yang soleh dan amal-amal yang soleh.

 Didalam Al-Quran juga Allah ada menyebut :

  Maka Dia mengilhamkan kepada manusia jalan kejahatan dan ketakwaan.Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu).Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya. (As-syams :8-10)

 Teman-teman.. setiap daripada kita ini Allah beri peluang untuk kita pilih jalan kesudahan kita.Peluang untuk kita pilih tempat tinggal abadi kita.Allah itu adil,dia beri peluang untuk manusia berusaha dulu menentukan nasibnya,barulah ketetapan Allah itu datang.

 Jadi setiap insan punya upaya untuk berubah.Janganlah kita memandang rendah pada masyarakat sekeliling kita yang masih jatuh.Sama-samalah kita membantu mereka terdaya yang kita mampu.

 Bagi diri kita sendiri yang amat berhajat untuk melakukan perubahan dalam diri..kita masih punya ruang dan peluang.Bangkitkanlah keinginan kepada kebaikan dalam jiwa kita yang dijadikan pada setiap insan.Kita belai dia,sirami dia dengan air keimanan,ditabur baja ketakwaan …dan yang pastinya dimulakan dengan pembajakan taubat dan istighfar.

Anda mampu mengubahnya!

Wallahualam.

Leave a comment »

Tak terkejar

 

Mereka itu ramai

Semua mengejar-ngejar

Aku mahu ini

Aku mahu itu

 

Sedangkan ia tidak lama

Ia tidak kekal

Ia tidak mampu menjadi hujah

Ia tidak mampu membela

 

Jika mereka mampu melihat

Jika aku mampu menilai

Bahawa kehidupan dunia ini hanya permainan

Permainan yang hina dina

 

Ya Allah..

Letakkan dunia di tangan kami

Bukan di hati kami

 

3B27,Strand Campus

3.10pm

23/10/09

 

Comments (2) »