Archive for June, 2008

Dua Dekad…Satu Perjalanan

Genap hari ini,cukuplah dua dekad saya menumpang dibumi Allah.Apabila merenung usia-usia yang ditinggalkan,betapa banyaknya masa-masa yang berlalu tidak diisi dengan amal-amal soleh.Amal-amal yang soleh pula,ada yang banyak cacat celanya.Ikhlaskah kerana Allah,amal qawi kah dan banyak lagi kekurangan.Apabila ditolak campur,tinggal secebis sahaja amal yang dirasakan betul-betul ikhlas kerana Allah.Itupun hanya difirasat akal yang lemah,bagaimana agaknya pula pada perkiraan Allah.

Pagi ini,ayah saya mengucapkan kata selamat.Katanya,diri ini bukan lagi belasan tahun,dah masuk puluhan tahun.Langkah pertama menuju ke alam dewasa.Hati ini memang sedih apabila mengenangkan detik-detik waktu yang ditinggalkan.Banyak kenangan saat-saat remaja,jatuh bangun,detik-detik diri kenal Islam,semuanya ketika umur di belasan tahun.Tetapi proses tarbiyah ini proses yang berterusan.Tidak akan berhenti sehingga kita semua dijemput pulang menemui Allah.

Sebelum melelapkan mata semalam,saya muhasabah diri ini.Umurku sudah dua dekad,banyak juga rakan-rakan yang telah membawa haluan masing-masing.Kebanyakan daripada kami menyambung pelajaran.Ada juga yang mengambil keputusan untuk terus bekerja.Tidak lupa juga yang telah pun mendirikan rumah tangga.Dan pasti saya ingatkan juga diri saya,ada juga kenalan saya yang telah pun kembali bertemu Allah di saat umur menginjak 20 malah ada juga yang lebih muda.

Hand making-jazakillah khairan Ella for this 20th Birthday present..

Memandang semua itu mengingatkan diri bahawa diri ini hanya pinjaman Allah bagi roh untuk menumpang.Pada bila-bila masa sahaja Allah akan panggil kembali dan mengambil hakNya semula.Jadi mengapa perlu ada perasaan bongkak,bangga dan riak mempamerkan kecantikan diri,kesempurnaan rupa sedangkan ia hanya pinjaman Allah yang boleh ditarik pada bila-bila masa sahaja.

Saya cuba juga untuk mengingat kembali dosa-dosa lampau yang telah dilakukan.Satu-satu kesalahan cuba untuk saya rungkaikan sejak saya kecil hingga ke saat ini.Terlampau banyak,menggunung tinggi.Malu rasanya untuk bertemu Allah dengan dosa-dosa ini.Teringat kisah As-Syahid Sayyid Qutb.Beliau menghabiskan 40 tahun usianya tanpa kenal Islam yang sebenar,tetapi beliau menganggap usia yang dilaluinya itu sebagai pelajaran baginya.Saat-saat jahiliah itu yang mengajarnya untuk betul-betul kenal Islam dan faham apa itu jahiliah.Dan kerana pelajaran itulah 20 tahun terakhirnya hidup dimanfaatkan untuk Islam sebaik mungkin sebelum syahid di tali gantung.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan roh-roh orang yang beriman.Ameen.

Sibuk dengan dunia buatkan hati kita lalai.Maka pentingnya muhasabah diri,untuk kita sama-sama terokai diri kita,cari kesilapan diri sendiri.Dan disaat itu kita akan ketahui betapa hina dan kerdilnya kita dibumi Allah ini.Tetapi janganlah kita lupa bahawa sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun.Dalam sebuah hadis sohih,Rasulullah SAW pernah bersabda:

Allah Tabaaraka wa Ta’ala berfirman: “Wahai anak Adam,selama kalian mahu memohon dan mengharapkan (ampunanKu),tentu akan Aku ampuni semua dosa-dosa kalian dan Aku tidak peduli (meskipun dosa kalian banyak).Wahai anak Adam,sekalipun dosa-dosa kalian menupuk setinggi langit,kemudian kalian memohon ampunanKu,tentu akan Aku ampuni dosa kalian dan tidak Aku pedulikan (meskipun dosa yang kalian kerjakan itu dosa besar). Wahai anak Adam,sekiranya kalian datang kepadaKu dengan dosa sepenuh isi bumi,kemudian kalian mati dengan tidak menyekutukanKu dengan apapun,Aku akan memberikan ampunan sepenuh isi bumi kepada kalian”

Allah SWT juga pernah berfirman:

Dan,(juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri,mereka ingat akan Allah,lalu emohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu,sedang mereka mengetahui. (Ali-Imran :135)

Dan juga FirmanNya:

Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya,kemudian Ia memohon ampun kepada Allah,nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (An-Nisa : 110)

Betapa Pengasih dan Pengampunnya Allah,tiada tandingan.Moga Allah beri kekuatan pada kita semua untuk melalui dan menempuhi baki-baki usia ini untuk melaksanakan amal-amal soleh bertunjangkan keikhlasan kerana Allah sebelum kita semua dipanggil kembali ke kampung akhirat.Ameen

Comments (6) »

Ujian Kehidupan

Sudah jatuh ditimpa tangga

Mungkin inilah frasa yang paling sesuai untuk menggambarkan keadaan seseorang yang dikunjungi masalah demi masalah.Tidak sempat selesai satu masalah,masalah yang lain pula datang.

Manusia sememangnya tidak akan dapat lari daripada dihinggap ujian dan mehnah selagi nyawa dikandung badan.Walhal jika matinya insan itu dalam keadaan su’ul khatimah (kesudahan yang buruk)(nauzubillah ),penderitaan yang dihadapinya adalah lebih hebat dan kekal.Ujian-ujian ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk.Ujian kemiskinan,kematian orang tersayang,bencana-bencana walhal hidup senang juga merupakan ujian daripada Allah swt Tuhan Pencipta Alam.Sesuailah dengan firman Allah SWT:

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah wujudnya orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu,dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? “

Ali-Imran:142

Dapatlah disimpulkan antara syarat-syarat untuk masuk syurga adalah dengan menghadapi liku-liku ujian dengan bersungguh-sungguh.Setiap ujian yang hadir tandanya Allah sayang pada kita.Pernah sekali seorang sahabat nabi merasa tidak aman apabila dirinya hidup senang-lenang,takut-takut Allah tidak lagi sayang pada mereka.

Baru-baru ini,saya dikejutkan dengan satu berita yang mampu menggugat keikhlasan serta kejelasan saya pada jalan dakwah.Itu kata-kata seorang sahabat saya,dan pada fikiran saya ada benarnya.Walhal,saya sendiri membuat tafsiran bahawa ujian yang menimpa saya itu juga akan menggugat ukhwah diantara kami.Tetapi syukur,dengan jujurnya sahabat saya menjelaskan bahawa ukhwah yang dibina bukan kerana dunia tetapi kerana dakwah.Jadi payahlah alasan-alasan kecil dunia untuk meruntuhkan ikatan antara kami.Sesungguhnya segala kesyukuran haruslah dipanjatkan kepada Allah.

Sebenarnya,ujian itu indah.Mungkin selama ini kita terlalai dan terleka dengan kemewahan serta kesenangan hidup di dunia.Jadi kini tiba masanya untuk Allah jentik sedikit hati kita,menyedarkan daripada lamunan yang panjang.Mungkin juga sebelum ini Allah sudah lama mengetuk hati kita,minta dibuka untuk sinaran iman menyimbah masuk, cuma kita sahaja yang tidak sedar atau terlalai untuk menyambutnya.

Ujian juga mendekatkan diri pada Rabb dan   IlahNya.Melatih hati-hati yang selama ini angkuh dan sombong,lalai dan leka untuk tunduk sujud pada Allah.Memohon dan merayu supaya dipermudahkan hati-hati ini menempuh ujian daripada Allah.Semakin kuat Si Hamba merayu pada TuhanNya,semakin sayang TuhanNya pada Si Hamba.

Sayang Allah tidak seperti manusia.Malah kasih-sayang Allah melebihi kasihnya seorang ibu pada anaknya.Takut seorang hamba kepada Allah mendekatkan hamba dengan Allah. Tidak seperti takutnya pada manusia,jika boleh ingin lari jauhjauh daripada insan yang ditakutinya itu.

Pandanglah setiap musibah dan ujian yang Allah berikan sebagai sesuatu yang manis.Ambillah ia sebagai satu tarbiyyah daripada Allah iaitu sebagai satu pembelajaran berterusan selagi hayat dikandung badan.Moga-moga kita semua termasuk orang-orang yang tabah menghadapi ujian daripada Allah yang dijanjikan nikmat disyurga sebagaimana Firman Allah SWT,

“Pada hari itu banyak(pula) muka yang berseri-seri,merasa senang kerana usahanya (sendiri),(mereka) dalam syurga yang tinggi”  al-ghasiyyah : 8-10

Wallahualam

Comments (2) »

Ana Sahabat Yang Baik! :)

Kawan,teman,sahabat-merupakan pelbagai perkataan yang membawa maksud yang sama.Sesiapapun tidak akan mampu hidup keseorangan di dunia ini.Hakikatnya kita memerlukan seorang teman dan sahabat,membantu menghadapi liku-liku kehidupan.

Berbalik kepada tujuan asal artikel ini ditulis,sejauh mana kebenaran tajuk diatas?Adakah kita ini merupakan seorang sahabat yang baik?Sebagaimana baiknya para sahabat Rasulullah SAW?

Alqamah berpesan kepada puteranya,katanya : Wahai anakkku!Kiranya engkau merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang,maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut :

  1. Jika engkau membuat bakti kepadanya,ia akan melindungimu
  2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya,ia akan membalas baik persahabatanmu itu.
  3. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya,ia akan membantumu.
  4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya,ia akan menerima dengan baik.
  5. Jika ia mendapat sesuatu kebaikan (bantuan) daripadamu,ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.
  6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu,ia akan menutupnya.
  7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya,ia akan mengusahakannya.
  8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta ),ia akan menanyakan kesusahanmu.
  9. JIka datang sesuatu bencana menimpa dirimu,ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu ).
  10. Jika engkau berkata kepadanya,niscaya ia akan membenarkanmu.
  11. Jika engkau merancangkan sesuatu,niscaya ia akan membantumu.
  12. Jika kamu berdua berselisih faham,niscaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Berkata Saidina Ali a.s :

” Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada disampingmu.Ia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatanmu.Sanggup mengorbankan segala-gala untuk kepentingan dirimu.”

Mari sama-sama kita terokai diri kita,muhasabah diri kita.Buat peringatan bagi diri ini sebenarnya,jarang sekali kita memuhasabah hubungan kita dengan manusia.

Alqamah disini menjelaskan ciri-ciri untuk mencari sahabat yang sejati,tetapi kita seharusnya menjadikan ciri-ciri itu terbentuk dalam diri kita.Moga kitalah yang akan menjadi sahabat sejati semua orang.Mudah-mudahan dengan segala kekuatan dan bantuan dari Allah,kemudian dihiasi pula dengan akhlak mulia ajaran Rasulullah SAW,beserta ciri-ciri yang baru sahaja kita baca tadi dapat menarik lebih ramai orang kafir malah orang Islam sendiri lebih mencintai dan memahami Islam.

Wallahualam.

Sumber :Bimbingan mukminin ( adaptasi daripada ihya’ ulumuddin,Imam Ghazali )

Comments (4) »

Masih Ada Waktu III (samb.)

  

   Hujan turun renyai-renyai.Kemeja T berwarna biru muda beserta celana panjang hitam yang menutup auratnya habis basah.Cuaca juga agak sejuk.Tetapi ia langsung tidak menghalang Ikhwan untuk keluar pada petang itu.Tugasnya sebagai seorang naqib harus ditunaikan.Terlintas satu-satu muka adik-adik usrahnya.Firdaus,Ahmad Hakimi,Mus’ab,Izat Anwar dan Meor Qayyum.Masakan dia akan menghampakan harapan mereka semua yang pasti sudah siap sedia menunggunya di Kafe Perindu,Universiti Teknologi Mara Shah Alam.Dia tidak sanggup membiarkan adik-adik harapan Islam ini dahaga dengan suapan iman dan tarbiyyah.Islam untuk semua,mereka berhak merasai nikmatnya.

   Dia masih ingat bagaimana susahnya untuk menarik mereka menyertai usrah ini.Mus’ab dan Meor Qayyum merupakan sahabat baik.Ikhwan berkenalan dengan mereka ketika terlibat menjadi fasilitator sewaktu program Bina Insan sebulan yang lepas.Ketika itu mereka berdua adalah antara golongan mahasiswa yang degil,selalu menimbulkan masalah di dalam program tersebut.

   Kejadian yang berlaku ketika program itu masih segar dalam ingatannya.Ketika itu merupakan petang terakhir mereka bersama.Dia dipertanggungjawabkan untuk mengetuai kumpulan Mus’ab dan Meor Qayyum beserta 13 mahasiswa lagi pada aktiviti riadah petang itu.Ikhwan sebagai ketua membawa anak-anak buahnya masuk ke hutan sempena slot kembara.Segalanya berjalan lancar hinggalah Mus’ab dan Meor Qayyum serta beberapa kawan mereka berpecah.Mereka cuba menunjuk pandai,konon-kononnya mampu untuk menyudahkan ekspedisi tersebut tanpa mengikut arahan.

   Ikhwan hanya menyedari kehilangan mereka ketika mereka berhenti rehat.Resah hatinya apabila mendapati anak buahnya tiba-tiba hilang.Dia bersyukur kerana dia bersama Zaid ketika itu,salah seorang fasilitator yang turut memimpin kumpulan yang sama.Dimintanya Zaid membawa mahasiswa lain dan melaporkannya kepada pihak urus setia sementara dia menawarkan diri untuk mencari Mus’ab,Meor Qayyum dan kawan-kawan mereka.Dia terus bergerak,mencari sambil melaung-laung nama mereka sambil tangannya mengibas semak-semak yang menghalang laluannya.Sehinggalah hari hampir gelap.Memandangkan keadaan hari yang hampir gelap,dia mengambil keputusan untuk terus pulang ke tapak khemah.Sedang dia dalam perjalanan,dia terdengar bunyi suara orang bergaduh.Sahlah itu suara Mus’ab dan Meor Qayyum.

    Terus dia berlari kearah suara itu sambil melaung-laung nama mereka.Syukur,laungannya disahut.Betapa pengasihnya Allah.Disaat-saat dia hampir berputus asa,Allah tunjukkan jalan keluar.SubhanaAllah,sesungguhnya budi dan nikmat yang Allah berikan tidak mampu dizahirkan melalui kata-kata.

    Sejak kejadian itu,entah bagaimana Mus’ab dan Meor Qayyum menjadi makin rapat dengannya.Dan daripada situlah dia perlahan-lahan cuba untuk menarik Meor Qayyum dan Mus’ab mengenali Islam.Islam yang sebenar,iaitu mengambil sistem Islam sepenuhnya dalam cara hidup.Bukan sebahagian,tetapi kesuluruhannya.

   Sebaliknya,Firdaus,Ahmad Hakimi dan Izad Anwar lebih mudah didekati.Ikhwan mengenal mereka ketika mereka solat berjemaah bersama-sama di Pusat Islam UiTM.Setelah mengenal hati budi,Ikhwan yakin mereka mampu pergi jauh dalam menyampaikan risalah agung ini.

    Sesungguhnya Ikhwan yakin pertemuan dengan mereka semua telah diatur oleh Allah S.W.T.Walau apa jua yang menghalang,tidak akan mampu melawan kehendak Allah.

     Jam menunjukkan sepuluh minit ke pukul 4.30 petang.Ikhwan berjanji akan solat berjemaah bersama adik-adik usrahnya.Daripada jauh lagi kelihatan adik-adik usrahnya melambai-lambai kearahnya,ketika dia sampai di pintu masuk Kolej Perindu.Mereka terus bergerak mendapatkan Ikhwan.

   “Assalamualaikum,kaifa haluka?”Izad Anwar yang mula-mula sekali mendapatkan Ikhwan.Bersalam diikuti yang lain.Mereka berenam kemudian terus bergerak ke Pusat Islam,menunaikan tangungjawab sebagai seorang hamba.Mengadap Tuhan Yang Maha Esa.

   Usai solat,Ikhwan mengiisyaratkan adik-adik usrahnya bergerak ke satu sudut,dimana tidak menganggu laluan orang lain.Kemudian,mereka sama-sama membaca al-mathurat,mengikut sunnah Rasulullah.Selesai sahaja bacaan al-mathurat,seperti biasa mereka akan membuat bulatan,bersedia mendengar penyampaian daripada naqib mereka.

   “Assalamualaikum semua.Alhamdulillah,kita buka majlis kita dengan ummul kitab.”Ahmad Hakimi membuka bicara.Mereka kemudian sama-sama membaca al-fatihah dalam hati masing-masing.

   “Alhamdulillah,marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T,setelah hampir seminggu kita tidak berjumpa Allah temukan hati-hati kita pada petang Jumaat ini.Sesungguhnya hati-hati yang berkumpul pada petang ini adalah hati-hati yang dipilih oleh Allah.”Kali ini merupakan giliran Ahmad Hakimi menjadi pengerusi.Lazimnya,setiap minggu mereka akan bergilir-gilir untuk menjadi pengerusi majlis.Selesai sahaja Ahmad Hakimi mempengerusikan usrah mereka kali itu,dia mempersilakan Ikhwan untuk memulakan penyampaian.

   “Jazakallah khayr Hakimi.Ok,InsyaAllah hari ni abang nak sentuh tentang pentingnya mendidik hati.Hati kita ini adalah sesuatu agak sensitif dan amat penting.Rasulullah pernah bersabda:

  “Didalam jasad seseorang itu ada seketul daging,jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasad itu,jika buruk daging itu maka buruklah seluruh jasad.Ketahuilah daging itu adalah hati.”Ikhwan menarik nafas kemudian menyambung.

   “Allah SWT juga pernah berfirman dalam surah al-syams ayat tujuh hingga sepuluh yang bermaksud,Dan jiwa serta penyempurnaannya(ciptaannya),maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaanya.Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya merugilah orang-orang yang mengotorinya.”Ikhwan kemudian berhenti seketika.Melihat satu-satu reaksi adik-adik usrahnya.Mereka semua kelihatan mengangguk-angguk tanda faham.

  “Abang,bagaimana pula ya sesetengah masyarakat yang sekarang ni selalu sangat cakap,perangai dia nampak aje buruk tapi hati dia baik?Bukankah dia berlawanan betul dengan apa yang Rasulullah sebut tu?”Mus’ab bersuara.Kawan-kawannya yang lain turut terangguk-angguk menyatakan persetujuan.Ikhwan tersenyum.Dia sudah agak soalan ini pasti akan diutarakan oleh adik-adik usrahnya.

  “Sudah terang lagi bersuluh.Mungkin pepatah Melayu ni amat sesuai untuk kita kaitkan dengan persoalan yang Mus’ab utarakan tadi.Hadis pertama daripada koleksi hadis 40 ini menyatakan dengan tanpa ragu-ragu lagi bahawa apabila buruknya perangai seseorang,menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan hatinya.Sebab tu kita kena “check” balik hati kita.”Ikhwan terhenti apabila dia melihat Firdaus yang sejak tadi mendiamkan diri ingin menyatakan sesuatu.Diberinya laluan kepada Firdaus untuk bersuara.

   “Jadi itulah peranan kita untuk bantu masyarakat sekarang,faham dengan ajaran Islam yang sebenar.Bukan ambil sekerat-kerat je.Betul tak?”Ikhwan serta adik-adik usrahnya yang lain semua tersenyum tanda setuju.

   Sebelum sempat Firdaus menyambung,Meor Qayyum kelihatan ingin mencelah.Keadaan itu menyebabkan Firdaus kelihatan mencebik dan sedikit merajuk.Lalu Meor Qayyum cepat-cepat memohon maaf di atas ketelanjurannya.Seperti biasa,Firdaus yang kaya dengan aksi-aksi spontan membalas dengan suara anak kecil,menerima maaf daripada Meor Qayyum.Kawan-kawan mereka yang lain ketawa.Terhibur melihat reaksi Firdaus yang suka merajuk dan bergurau.Firdaus kemudian memberi kebenaran kepada Meor Qayyum untuk bersuara.

   “Abang,gini.Tak tau lah kalau ini ‘off’ topik tapi ana nak tanya pasal zina hati.Ana dah selalu sangat dengar pasal ni tapi kurang jelas.Mungkin abang boleh jelaskan lagi?”

………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

    Usai solat Isyak berjemaah di masjid tadi,dia terus pulang ke rumah.Sesampainya dirumah,diambilnya mushaf Al-Quran,dibacanya sedikit.Dia yakin seorang mukmin perlu menghiasi setiap harinya dengan bacaan dan tadabbur Al-Quran.Teringat dia pada pesanan Ustaz Amir ketika dizaman sekolahnya dahulu.Sehari kita tinggalkan Al-Quran,Al-Quran akan tinggalkan kita selama dua hari.Kadang-kadang hatinya tertanya bagaimana agaknya keadaan wanita yang uzur syar’ie.Sudahlah tidak boleh menunaikan solat,haram mengambil wudu’ apatah lagi menyentuh mushaf serta mengalunkan ayat-ayat Al-Quran.Sekurang-kurangnya mengambil masa seminggu.Tentu merana hati mereka.Syukur mereka masih boleh berzikir dan pasti Allah akan kira keinginan-keinginan mereka untuk turut sama beribadah.

   Ikhwan kemudian terus menunaikan solat sunat taubat.Selesai solat terus direbahkan dirinya diatas katil.Badannya terasa sedikit panas.Mungkin kerana hujan yang diredahnya petang tadi.Badannya lemah.Dia cuba melelapkan mata tetapi entah mengapa tiba-tiba soalan yang diutarakan oleh Meor Qayyum petang tadi muncul difikirannya.

   “Zina hati?”Ikhwan bersuara perlahan.Soalan itu betul-betul mengingatkan dirinya kepada sahabatnya Syafiq.Baru sahaja tiga hari lepas mereka berbual melalui telefon.Kata-kata terakhir Syafiq sebelum mereka memutuskan talian masih kekal terpahat diingatannya.

   “Anta biar betul ni?Janganlah main-main.Betul ke anta nak walimah?”Ketika itu Ikhwan terkejut.Tidak disangka hal itu yang akan diutarakan oleh sahabatnya.Perasaan yang selalu meronta-ronta dihati setiap syabab yang hampir masuk ke umur pertengahan 20-an.

   “Aah betul la.Ana nak walimah.Kenapa tak percaya pula?Ana nak walimah dengan iman.Supaya iman dapat sentiasa bersama ana,melahirkan anak-anak ketaqwaan.Moga-moga anak-anak itu akan membesar,menjadikan diri ini bertambah tawadhu’ dan dekat dengan pencipta diri dan iman sebelum kami sama-sama dijemput pulang oleh Allah ke kampung akhirat.”Sayup suara Syafiq ketika itu.Kedengaran kata-katanya lahir dari dalam hatinya.Penuh keikhlasan.Ketika itu Ikhwan hampir menitiskan air mata.Dia sebak.Terharu dengan ucapan sahabatnya.

    Sejak hari itu dia mula berfikir kebenaran kata-kata sahabatnya.Kadang-kadang terlintas juga difikirannya,adakah Syafiq betul-betul ingin walimah.Jika tidak masakan dia akan menyatakan kesunyiannya dan hasratnya untuk walimah.Cepat-cepat Ikhwan beristighfar.Dia harus bersangka baik terhadap sahabatnya.Bersangka baik adalah serendah-rendah ukhwah.

   Ikhwan tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan dirinya jika Syafiq betul-betul ingin walimah.Mereka sudah merancang banyak perkara dan program-program terutamanya untuk mad’u-mad’u mereka apabila Syafiq pulang ke Malaysia nanti.Sukar untuknya melakukan kerja seorang diri.Sedangkan dakwah perlu ada jemaah.Cukuplah dia rasa kehilangan ketika mula-mula Syafiq berangkat ke UK.Dia tidak sanggup untuk kehilangan Syafiq selama-lamanya apabila diri Syafiq dimiliki hati seorang wanita.Mungkin masanya untuk bertemu dan berbincang dengan Syafiq tidak sebanyak sebelum ini.

   “Walimah tidak menghalang kerja-kerja dakwah.”Syafiq teringat kata-kata Ustaz Amir.Cepat-cepat dia istighfar.Dia cuba menenangkan dirinya.Jika tiada masa bersama Syafiq,bukan tiada sahabat lain yang boleh membantunya.Ikhwan menarik nafas.Kemudian dilepaskannya perlahan.Dia memandang siling.Kelihatan dua ekor cicak yang sedang bergaduh.Ikhwan tersenyum.Teringat dia pada Syafiq.Mesti sukar untuk Syafiq menemui makhluk Allah ini dibumi UK.

   “Anta sunyi ke?”Ikhwan bersuara dalam hatinya.Dia risau akan keadaan sahabatnya.Dia tahu disana memang banyak cabaran.Tambahan lagi dengan kehadiran gadis-gadis Barat yang mampu menggugat iman dan mencairkan hati setiap diri yang memandang.Tetapi dia yakin Syafiq mampu hadapinya.Syafiq bukan calang-calang orang.Mereka telah sama-sama duduk di dalam tarbiyyah hampir 5 tahun.Syafiq sudah tentu mampu mengawal hawa nafsunya.Walau bagaimanapun dia akui mungkin cabarannya tidak mampu terbayang oleh fikirannya.Syafiq tercampak disana seorang diri.Berbeza dengan sahabat mereka yang lain,kebanyakkannya melanjutkan pelajaran ke Mesir atau Jordan.Di negara yang mudahnya mendapat biah-biah soleh.

  “Moga Allah beri kekuatan dan pelihara imanmu Syafiq”.Doa Ikhwan,kemudian dibacanya pula doa tidur sebelum matanya tertutup rapat.Mati buat seketika.

Comments (5) »